Rakyat Melaka Teruja Kehadiran Ahmad Zahid, Iftar Bersama Pelajar Tahfiz Serta Asnaf

JASIN, 28 Mac – Bagi menghayati pengertian Ramadan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah mengimarahkan Ramadan dengan majlis iftar bersama pelajar-pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat.


Kehadiran Timbalan Perdana Menteri pada jam 6 petang itu dinanti-nantikan oleh ribuan rakyat yang berhimpundi Masjid Ar Rahman, Kampung Pulai, Serkam, Melaka malah hadirin berpeluang untuk beramah mesra dengan beliau.

Dalam masa yang sama kehadiran Ahmad Zahid disambut dengan penuh teruja oleh penduduk setempat, malah mereka tanpa rasa kekok berpeluang bergambar bersama-sama.

Majlis ini adalah lokasi ketiga daripada 13 negeri Majlis Santunan Kasih Ramadan.
Terdahulu ianya bermula pada 24 Mac lalu dengan lokasi pertama di Masjid Batu 8, Gombak dan lokasi yang kedua pula di Masjid Jamek Islah, Tasek Gelugor.

Selain merapatkan jalinan ukhwah antara kepimpinan dan masyarakat, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada lapan pusat tahfiz berserta duit raya dan lima geran daripada pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang bernilai RM60,000.

Seramai 381 pelajar tahfiz dari lapan pusat pengajian di sini menerima sumbangan tersebut iaitu Sekolah Pondok Tuan Haji Husin, Umbai; Madrasah Tahfiz Al-Quran Ibnu Talib, Kampung Pulai; Madrasah Tahfiz Quran Ibnu Talib Lilbanat; Madrasah Baiturrahman; Madrasah Abd Ghani, Serkam; Pondok Pengajian Ilmu Wahyu; Madrasah Sheikh Abdul Qodir Al Jailani dan Ribat Tahfiz Sheikh Ismail Al Jailani.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta exco-exco negeri dan kepimpinan UMNO negeri Melaka.

Majlis berbuka puasa ini berlangsung dengan penuh bermakna bagi masyarakat setempat dan mereka menikmati juadah yang disediakan.

Seusai majlis berbuka puasa, hadirin dan muslimat yang hadir menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama berjemaah.

Majlis sebegini bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar Maahad Tahfiz, Asnaf malah turut memberi manfaat kepada seluruh rakyat Melaka kerana berpeluang berkongsi rezeki, ilmu dan kegembiraan di bulan yang mulia yang penuh barakah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.