Pasca Pemilihan: Ini Masa Terbaik Kembali Bekerja, Kukuhkan Parti
KEPALA BATAS, 26 Mac – Ini adalah masa terbaik untuk kembali bekerja, mengukuhkan parti disamping mengelakkan berlakunya sebarang perpecahan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, para pimpinan parti perlu mengambil iktibar dari pengalaman lampau kerana perpecahan telah menyebabkan kekalahan.
“Ini masanya untuk bekerja bagi mengukuhkan parti ibarat ‘biduk lalu kiambang bertaut’, tidak ada lagi proksi-proksi di dalam parti.
“Ambil iktibar dari pengalaman lampau, kekalahan berlaku kerana kita berpecah. Kali ini, tanggungjawab saya sebagai Setiausaha Agung Baharu akan memastikan tiada satu proksi pun di dalam UMNO ini yang terpisah-pisah.
“Kita hanya ada satu sahaja iaitu proksi UMNO. Itu juga antara amanat yang diberi oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Apa yang lepas biarkan berlalu, kita sama-sama bina balik UMNO, Bangkit 2.0,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian selepas Program Lawatan dan Perjumpaan Pengerusi MARA bersama warga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi MARA itu turut mengadakan beberapa lawatan pada hari ini bagi membuat tinjauan dan memberikan peruntukan untuk beberapa institusi terlibat.
“Hari ini saya mengambil kesempatan untuk melawat MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang secara mengejut disebabkan saya terbaca beberapa komen yang meminta agar lawatan dibuat ke asrama, bilik guru melihat beberapa perkara perlu ditambah baik.
“Saya juga telah memberikan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk penambahbaikan bilik guru dan asrama, terutamanya tandas-tandas di MRSM Balik Pulau,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut membawa hasrat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadikan MRSM seluruh negara membawa model Ulul Albab seperti di Kepala Batas.
“Saya juga ada bertemu dengan usahawan MARA yang berjaya dalam perniagaan plastik dan kita mula bantu mereka untuk keluar daripada pasaran domestik.
“Ini antara usaha MARA menyediakan ekosistem bukan sahaja latihan dan pembiayaan, tetapi pensijilan serta membantu usahawan-usahawan sehingga ke luar negara.
“Akhir sekali saya tiba di MRSM Kepala Batas. Ini merupakan inspirasi Timbalan Perdana Menteri untuk membawa model Ulul Albab di kesemua MRSM. Saya sebagai Pengerusi MARA sudah tentunya ingin membawa inspirasi beliau dan melaksanakannya secara berperingkat,” katanya lagi. – UMNO Online