Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Akan Tingkat Keserasian Di Semua Peringkat

TASEK GELUGOR, 26 Mac – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang akan diadakan pada 14 Mei akan datang di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dilihat boleh meningkatkan keserasian di semua peringkat parti-parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan-gabungan parti di bawah Kerajaan Perpaduan akan berkumpul pada konvensyen yang akan diadakan buat kali pertama selepas pembentukan kerajaan tersebut.

“Walaupun Sekretariat Kerajaan Perpaduan telah mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali tetapi konvensyen ini akan melibatkan kepimpinan pelbagai parti dari peringkat Cawangan, Dewan Undangan Negeri, Bahagian, Negeri dan Nasional.

“Ini adalah bagi mewujudkan keserasian di semua peringkat. We have to create good chemistry among the leaders and it will be filtered down to the grassroot level,” katanya kepada wartawan ketika menghadiri Majlis Sentuhan Ramadan di Masjid Jamek Al-Islah Pokok Tampang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Apabila ditanya jika pihaknya sudah mendapat bayangan parti mana yang akan bertanding di kerusi mana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau berkata ia masih terlalu awal.

“Masih terlalu awal untuk kami memberikan bayangan. Apa yang penting adalah rundingan berasaskan kebolehmenangan. Bukan bertanding dengan berhasrat untuk mendapatkan jumlah tertentu tapi yang penting adalah mendapatkan kemenangan,” katanya.

Di peringkat negeri, katanya pihak kepimpinan tertinggi akan menyerahkan kepada peringkat negeri iaitu Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir untuk membincangkannya.

Ahmad Zahid berkata Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional cuma akan menyentuh dari segi dasar sahaja. –BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.