UMNO Kembali Bersatu, Wanita Luar Biasa Bertudung Merah Susah Senang Bersama – Rosni

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Wanita UMNO Malaysia diseru untuk kembali bersatu selepas Pemilihan UMNO yang lalu seperti apa yang disarankan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar berkata ini kerana sebagai tulang belakang parti, penyatuan Wanita UMNO perlu disegerakan dengan kepimpinan di bawah ketua, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Usaha penyatuan ini amat dihargai dalam memastikan Wanita UMNO terus kukuh dan bersedia mendepani cabaran menanti terutamanya persiapan menghadapi PRN enam negeri dalam masa terdekat. Saya yakin dan percaya semangat ‘Wanita Luar Biasa’ yang ‘Bertudung Merah’ pasti sentiasa ‘Susah Senang Bersama’.

“Kita harus menyingkap kembali sejarah dimana Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengambil alih kepimpinan Ketua Wanita UMNO Malaysia selepas Tan Sri Shahrizat Jalil mengundurkan diri pasca kekalahan besar UMNO pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Tugas ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Sesiapa pun pasti tidak akan dapat menyangkal bahawa amanah besar tersebut dipikul oleh beliau ketika UMNO tiada kuasa dan wang ringgit.

“Tidak boleh menyamakan gaya dan corak kepimpinan beliau dengan pemimpin-pemimpin Wanita UMNO sebelum ini. Beliau memiliki gaya dan corak kepimpinan beliau yang tersendiri dan kelantangan beliau terserlah melalui pencapaian yang telah dikecapi walaupun dalam masa yang singkat dengan mendapat mandat daripada 112 Wanita UMNO Bahagian dalam pemilihan UMNO baru-baru ini berbanding Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang mendapat 77 undian Wanita UMNO bahagian,” katanya menerusi satu kenyataan.

Rosni menambah sepanjang sepenggal mengggalas tanggungjawab tersebut, ini termasuk dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan yang telah membataskan peranan namun Noraini telah berjaya menyatukan Wanita UMNO dan membawa Wanita UMNO mengharungi onak dan duri perjuangan.

Jelas beliau ini termasuk rintangan demi rintangan sehingga Barisan Nasional (BN) berjaya menyaksikan jumlah calon Wanita untuk semua pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri meningkat kini berbanding sebelum ini.

“Sebagai contoh di PRN Johor, calon Wanita melebihi 25 peratus. Ketika menjadi Menteri Pengajian Tinggi, beliau mengiktiraf kemampuan dan kebolehan Wanita dengan melantik tidak kurang 13 orang Wanita menyandang sebagai Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor universiti di seluruh negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Rosni turut menghargai kebijaksanaan Presiden UMNO dalam melantik Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi baru-baru ini.

“Selain dapat menyatukan kembali sayap Wanita UMNO, keputusan ini juga membolehkan Tan Sri Shahrizat Jalil yang mempunyai pengalaman sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam portfolio wanita dan kemasyarakatan di luar konteks Wanita UMNO seperti yang dimaklumkan sendiri oleh Presiden,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.