Pasca Pemilihan UMNO Suntik Semangat Baharu Di Kalangan Ahli
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin penuh yakin dan percaya keputusan pemilihan UMNO beberapa hari lalu dapat menyuntik semangat baharu kepada seluruh ahli parti dalam usaha menggerakkan UMNO di dunia politik tanah air.
Bagi beliau gabungan naib presiden sebagai contoh adalah gabungan yang cukup seimbang dengan masing-masing bukan sahaja mempunyai pengalaman malah dapat meyakini ahli parti khususnya rakyat di luar sana.
“Melihatkan kepada keputusan yang dibuat oleh akar umbi, parti hari ini mempunyai gabungan naib presiden yang seimbang. Pertamanya seorang menteri besar, keduanya seorang menteri dan satu lagi terdiri daripada tokoh korporat. Saya pasti mereka akan dapat bekerjasama dengan presiden,” katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang dipilih semula sebagai ahli MKT.
Sharkar seterusnya menambah barisan kepimpinan yang dipilih juga diyakini akan memberi satu imej yang amat baik kepada UMNO termasuklah pemilihan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy yang mempunyai pengalaman luas dalam politik sebagai salah seorang Naib Presiden.
Begitu juga katanya lagi seorang lagi muka baharu Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang merupakan seorang tokoh korporat selain Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sebelum ini merupakan penyandang jawatan tersebut.
“Kejayaan Datuk Seri Wan Rosdy menerajui negeri Pahang diyakini dapat memberi impak yang positif kepada parti apatah lagi dengan kedudukan UMNO hari ini yang akan berdepan cabaran mendatang.
“Beliau bukanlah seorang tokoh asing dalam politik dan keupayaan beliau dalam mengemudi kerajaan Pahang sudah pasti dapat memberi nafas baharu kepada UMNO untuk terus melangkah bersama seluruh barisan kepimpinan dan ahli yang lain,” katanya.
Katanya lagi pemilihan yang berlalu adalah satu peluang kepada ahli parti di semua peringkat untuk membuat pilihan masing-masing dan hari ini mereka yang terpilih perlu menunaikan amanah dan kepercayaan yang diberikan.
“Tentu sekali ini adalah satu kepercayaan dan amanah yang cukup besar apatah lagi dalam senario UMNO pasca Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan pelbagai cabaran yang melanda. Apa pun saya penuh yakin dengan kombinasi dan kerjasama seluruh barisan kepimpinan yang terpilih baik di peringkat cawangan, bahagian, sayap-sayap serta barisan MKT, UMNO mampu bergerak ke depan.
“Kita tidak mahu lagi mengimbau nostalgia lalu sebaliknya masing-masing memainkan peranan tersendiri kerana tentunya cabaran yang menanti cukup besar. Dan menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN), ini adalah cabaran pertama untuk seluruh barisan kepimpinan melaksanakan yang terbaik untuk parti dan berjuang sebaiknya untuk rakyat di luar sana,” tambahnya.- UMNO Online