Pemuda UMNO Bantah Pusat Hiburan Privacy Tun Razak, Laporan Polis Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Pemuda UMNO hari ini bukan sahaja menyatakan bantahan keras malah turut membuat laporan polis di 191 bahagian seluruh negara berhubung ‘Pembukaan Pusat Hiburan Privacy Tun Razak’.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata keberanian golongan liberal menyebarkan kemungkaran songsang secara terbuka melalui ‘Pembukaan Pusat Hiburan Privacy Tun Razak’ adalah suatu yang amat mendukacitakan apatah lagi dalam suasana umat Islam seluruh dunia khususnya di negara ini sedang dalam persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Tetapi malang sekali tegas beliau apabila negara dikejutkan dengan berita yang amat mendukacitakan, menentang nilai Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati.

“Sehingga petang ini, lebih 100 Pemuda UMNO bahagian telah membuat laporan polis dan akan ada lagi yang menyusul. Kami menggesa pihak berkuasa untuk segera bertindak mengenalpasti penganjur dan semua pihak yang terlibat bagi mendakwa serta mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Jika perkara ini gagal dihalang dan penganjur berkeras mahu meneruskan, jemaah Pemuda UMNO Malaysia akan turun pada tarikh dan lokasi tersebut bagi menghentikannya. Kegagalan pihak berkuasa serta Kerajaan Malaysia untuk bertindak segera menangani masalah ini pasti akan memudaratkan hingga mampu mencetuskan ketegangan yang sukar digambarkan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Akmal seterusnya menegaskan Pemuda UMNO Malaysia konsisten bahawa fahaman liberal, agenda LGBTQ perlu terus dibenteras apatah lagi Islam adalah agama rasmi negara ini.

“Pembukaan Pusat Hiburan Privacy Tun Razak tersebut secara jelas melibatkan maksiat menggalakkan amalan jenayah LGBTQ. Perkara ini perlu segara dihentikan dan diambil tindakan sekeras-kerasnya.

“Kebiadapan mereka yang dilihat sengaja ingin mencabar kesucian bulan Ramadhan dan juga umat Islam seluruhnya. Ini sudah tidak boleh dimaafkan selagi tiada tindakan undang-undang yang wajar dikenakan ke atas penganjur serta sesiapa yang terlibat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.