Buka Lembaran Baharu, Perkasa Parti… Fokus Hadapi PRN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepimpinan parti yang baharu dilantik untuk merapatkan barisan bagi memperkasa parti keramat ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini penting sebagai persediaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negari kelak.

“Saya minta rakan-rakan sama ada yang telah menang, dilantik atau yang turut bersama dalam kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk merapatkan barisan dan melupakan titik bengik, sebagaimana yang kita hadapi yang lalu.

“Biduk lalu kiambang bertaut dan buka lembaran baru pada kali ini dan santuni rakan-rakan yang lain untuk bersama dengan kita dan lembaran baru ini.

“Harapkan dapat dilaksana bukan sahaja diperingkat negeri tetapi di bahagian, cawangan. Saya minta jentera lokaliti, pusat daerah mengundi, dewan undangan negeri dan juga Parlimen susun jentera membantu enam negeri untuk PRN yang akan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, yang diadakan selepas mengadakan angkat sumpah ahli MKT UMNO yang baharu dilantik sejurus Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 yang berakhir pada Ahad lalu.

Ahmad Zahid juga pada masa sama memaklumkan, UMNO akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan konsep negara madani diperkukuhkan demi kepentingan rakyat.

“Ini paling penting untuk mewujudkan kestabilan kerajaandan UMNO di bawah kepimpinan yang ada pada sekarang ini mendukung Kerajaan Perpaduan.

“… untuk itu konvensyen akan diadakan pada 14 Mei di Dewan Merdeka di mana 20 parti dalam kerajaan perpaduan dengan empat gabungan utama akan berada di satu tempat memperlihatkan solidariti dalam parti gabungan yang penting dokongan daripada umno cukup berpadu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.