Majlis MADANI Platform Bina Negara MADANI Sempurna

PUTRAJAYA, 21 Mac – Kerajaan menubuhkan Majlis MADANI sebagai inisiatif menterjemahkan pelaksanaan konsep MADANI, bagi membina negara MADANI yang sempurna, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penglibatan dalam Majlis MADANI, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, merangkumi badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam.

“Majlis MADANI ditubuhkan sebagai platform untuk semua pihak lakukan keterlibatan, dalam membina negara MADANI yang sempurna,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Perpaduan NGO-NGO Islam di Bangi, dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata sebarang keputusan yang dibuat dalam mesyuarat majlis berkenaan, akan diumumkan sendiri oleh perdana menteri.

“Di sana (majlis), banyak bukan hanya soal falsafah dan konsep tetapi program-program yang akan dilakukan. Kita tunggulah hingga Yang Berhormat Perdana Menteri membuat pengumuman terhadap keputusan-keputusan mesyuarat Majlis MADANI,” katanya.

Pada konvensyen itu, sebanyak 10 resolusi telah disepakati oleh NGO Islam, antaranya membangunkan kompleks lengkap dengan fasiliti seperti pejabat, dewan seminar, dewan serbaguna dan bilik latihan.

Kompleks itu akan dimiliki bersama gabungan NGO Islam dengan bantuan dana kerajaan, bagi membolehkan kerja-kerja khidmat sosial dan kesukarelawanan dilaksanakan dengan lebih terancang, teratur, dan tersusun demi manfaat masyarakat.

Mengenai resolusi membangunkan kompleks itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan memaklumkan perkara tersebut kepada Anwar dan ‘hampir pasti’ akan dipersetujui perdana menteri.

“Ini tentunya memerlukan dana yang mungkin saya akan bisikkan terus kepada beliau…umpamanya Belanjawan 2024 mungkin beliau boleh memasukkan permintaan NGO Islam ini,” katanya.

Ditanya tindakan segelintir pihak meniupkan sentimen kaum dan agama, Ahmad Zahid berkata semua pihak perlu mencari titik persamaan dan tidak melayani titik perbezaan, memandangkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

“Beliau (Perdana Menteri) sangat ikhlas untuk mengajak kita semua mencari titik persamaan dan bukan melayani titik perbezaan dalam kalangan kita. Kita menghormati kepelbagaian pegangan, namun di dalam soal-soal prinsip kita harus bersama,” katanya.

Anwar sebelum ini mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu meniupkan sentimen kaum dan agama, serta telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk berwaspada bagi menjaga keamanan negara, agar sentimen itu tidak digunakan untuk menimbulkan kekacauan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengumumkan dana RM1 juta kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, untuk menjalankan aktiviti tahunan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.