Perkukuh Keluarga Besar UMNO, Kerjasama Raih Keyakinan Rakyat – Johari

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Naib Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap kesepaduan dalam kalangan ahli parti terus dipererat bagi mendepani masa depan yang terbaik untuk parti keramat ini.

Jelas beliau, perkara itu amat penting dicapai terutama untuk meraih kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Mulai hari ini, sama-sama kita kukuhkan hubungan kita dari sebarang kekhilafan dan bersatu sebagai sebuah keluarga besar UMNO serta saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa pada masa sama meluahkan penghargaan kepada akar umbi parti yang menyokong beliau bagi menggalas jawatan sebagai naib Presiden UMNO.

Jelas beliau, tanggungjawab yang diberikan itu akan digalas dengan sebaiknya bersama dengan kepimpinan tertinggi parti.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua perwakilan bahagian seluruh Malaysia yang telah memberikan sokongan serta kepercayaan bagi saya menjawat jawatan salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden UMNO.

“Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jentera kempen saya serta akar umbi yang telah bekerja keras sehingga mencapai kemenangan ini.

“Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi bagi membantu dan memimpin parti bersama-sama Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,” ujar beliau.

Terdahulu, Pemilihan UMNO yang berakhir Ahad lalu menyaksikan Johari dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai muka baharu dipilih sebagai Naib Presiden.

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan kedudukannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.