Labuan Kini Mempunyai ‘Suara Yang Lebih Kuat’, Kata Rafi

LABUAN, 20 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu dilantik Datuk Mohd Rafi Ali Hassan percaya Labuan kini mempunyai suara yang lebih kuat dalam membangkitkan isu dan meminta sokongan daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata sebagai Wilayah Persekutuan, Labuan berhak mendapat bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu yang memberi kesan kepada penduduk dan ekonomi.

“Memandangkan Labuan kini mempunyai wakil rakyat dalam politik negara, kita boleh bercakap lebih lantang secara rasional demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi pulau itu.

“Kita tidak boleh berputus asa untuk memperjuangkan kebajikan rakyat kerana kita boleh menggunakan plebagai saluran politik untuk mengetengahkan isu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Rafi antara muka baharu dalam barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026, selepas memperoleh 93 undi dalam pemilihan parti pada Sabtu.

Beliau berkata usaha gigih melalui platform politik dapat membantu Labuan untuk mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan berhubung keperluannya.

Kita tidak boleh melakukannya sendirian, kerana kita secara geografi jauh dari Putrajaya. Oleh itu adalah penting platform politik seperti UMNO meminjamkan suaranya untuk mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Mohd Rafi berkata Labuan, sebagai pusat kewangan antarabangsa serta hab minyak dan gas, masih berdepan kadar pengangguran yang tinggi, kelembapan ekonomi serta kenaikan harga barangan.

Mohd Rafi, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu juga merupakan ketua UMNO bahagian Labuan yang baharu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.