Pemilihan UMNO: Presiden UMNO Tinjau Pusat Paparan Keputusan Undi

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir membuat tinjauan di pusat paparan keputusan sempena Pemilihan UMNO 2023 bagi meninjau dan mengikuti proses penjumlahan undi bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dilaksana di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut meluangkan masa menyantuni para petugas media yang membuat liputan berkaitan pemilihan terbabit.

Berkaitan dengan keputusan MKT, setakat 12.20 tadi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendahului perebutan jawatan Naib Presiden UMNO dengan memperoleh 89 undi.

Di tempat kedua ialah Datuk Seri Mohamed Khaled yang juga penyandang bagi jawatan terbabit dengan 81 undi manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berada pada kedudukan ketiga dengan 69 undi.

Tiga calon lain yang bertanding bagi jawatan tersebut ialah ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (44 undi), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (33 undi), Datuk Hasni Mohammad (30 undi), Datuk Seri Mahdzir Khalid (20 undi) dan Dr Mohd Yusof Musa (0 undi).

Sementara itu, bagi persaingan mengisi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi didahului Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dengan 84 undi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memperoleh 82 undi.

Untuk jawatan Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin berada jauh meninggalkan pencabarnya, Datuk Shamsul Najmi Shamsudin, dengan 109 undi berbanding 75 undi setakat ini.

Jawatan Timbalan Pengerusi Tetap pula didahului Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah dengan 75 undi.

Proses kiraan undi bagi pemilihan ini masih berjalan dan keputusan penuh akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad selepas semua keputusan diperoleh dan penelitian dilakukan.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 telah diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.