Keputusan Tidak Rasmi Naib Presiden UMNO: Wan Rosdy, Johari Muka Baharu, Khaled Kekal Jawatan

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Dua muka baharu, iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berjaya meraih tempat dalam barisan naib presiden pada Pemilihan UMNO kali ini.

Menurut keputusan tidak rasmi yang dikongsikan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi satu hantaran di laman twitternya, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut berjaya mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Selain itu, bagi jawatan Pengerusi Tetap UMNO, penyandang bagi jawatan itu Tan Sri Badruddin Amiruldin berjaya mengekalkan kedudukannya manakala Timbalan Pengerusi tetap adalah milik Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula antara nama yang diumum menang secara tidak rasmi ialah Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Azian Osman, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin serta Datuk Dr Ir Shaik Hussein Mydin.

Nama-nama lain ialah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, Datuk Seri Dr Md Alwi Che Ahmad, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Datuk Zahida Zarik Khan, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Johan Abdul Aziz, Isham Jalil, Datuk Seri Dr Ahmad Said, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Lokman Noor Adam, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Bagaimanapun, hantaran yang dikongsikan oleh Ahmad itu turut memaklumkan, bagi keputusan MKT UMNO perubahan di saat-saat akhir membabitkan senarai calon yang berjaya memenangi jawatan itu mungkin berlaku, disebabkan terdapat keputusan di beberapa bahagian lagi yang belum diterima, belum dimasukkan ke dalam sistem, atau belum dimuktamadkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.