PRN: UMNO Susun Gerak Kerja Selepas Pemilihan Parti – Mohamad

SEREMBAN, 18 Mac – UMNO akan menyusun gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaik sahaja proses pemilihan parti itu bagi sesi 2023-2026 selesai.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana terdapat beberapa perubahan di peringkat kepimpinan akar umbi parti selain mengambil kira muka baharu terutama membabitkan sayap Pemuda dan Puteri.

“Rata-rata setiap bahagian di seluruh negara 70 lebih peratus Ketua, Naib Ketua dan Jawatankuasa adalah (muka) baharu… lima tahun tak ada pemilihan, ramai yang telah lebih umur tapi di peringkat jentera akar umbi tak banyak perubahan cuma Pemuda dan Puteri sahaja.

“Bila dah disusun nanti, kita akan buat mesyuarat perhubungan dan susun gerak kerja (bagi menghadapi PRN),” katanya kepada pemberita ketika menghadiri mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau hari ini.

Pemilihan UMNO bermula pada 1 Feb lepas dengan Mesyuarat Perwakilan serta Pemilihan Jawatankuasa Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Beliau berkata sayap Pemuda dan Puteri juga perlu diberi pendedahan serta latihan intensif kerana mereka adalah antara tenaga gerak kerja utama parti selain perlu bersama dengan jentera dalam menguruskan pilihan raya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga berkata strategi komunikasi dan manifesto antara parti dalam menghadapi PRN adalah antara agenda utama mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur esok.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata soal pembahagian kerusi BN dan Pakatan Harapan (PH) belum lagi dibincangkan.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir pula berkata pihaknya akan berbincang dengan kepimpinan PH negeri mengenai pengagihan kerusi selepas Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian selesai.

“Perbincangan bersama akan dilakukan selepas ini tapi kita akan bincang berkenaan 15 kerusi majoriti Melayu dahulu bersama PKR dan Amanah manakala yang lain akan dibincangkan pada pusingan kedua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam hari ini.

PRN kali ini melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.