Pemilihan UMNO: Tengku Razaleigh Pertahan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Sejak 1962

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) bagi penggal 2023-2026 diadakan hari ini melibatkan 189 daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.

Walaupun keputusan belum diumumkan sepenuhnya, namun terdapat beberapa bahagian yang mencuri tumpuan antaranya kemenangan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengekalkan jawatan yang disandangnya itu, sejak 1962.

Mesra disapa Ku Li, veteran politik itu berjaya meraih 453 undi berbanding dua pencabarnya Che Mohd Izani Che Musa dengan 46 undi dan Datuk Saari Lembut yang hanya memperoleh lima undi.

Ku Li mula menyandang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Gua Musang ketika berusia 25 tahun dan kemenangan yang diraih ini, sekali gus menobatkan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian paling lama berkhidmat di negara ini.

Pemilihan bagi penggal 2023-2026 merupakan kali kedua Tengku Razaleigh dicabar sepanjang 64 tahun memimpin UMNO Bahagian Gua Musang.

Di NEGERI SEMBILAN, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan turut mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang disandangnya sejak 2003 selepas menang tanpa bertanding untuk jawatan itu.

Di KEDAH, turut menang tanpa bertanding ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap.

Di KELANTAN, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Machang bagi penggal 2023-2026 selepas menang tanpa bertanding.

Turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu Tan Sri Mohd Fatmi Mohd Salleh, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad yang dipilih Ketua UMNO Bahagian Ketereh dan Datuk Zaluzi Sulaiman (Pengkalan Chepa). – BERNAMA