Pemilihan 2023: Sebagai Parti Terbesar, UMNO Sentiasa Menjadi Perhatian Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan bahawa sebagai sebuah parti yang terbesar di negara ini, UMNO sentiasa menjadi perhatian rakyat dalam apa jua keadaan.

Katanya ini termasuk pada Pemilihan UMNO 2023 yang berlangsung hari ini menjadi tumpuan segenap masyarakat kerana kepimpinan parti ini juga terbabit dalam pentadbiran kerajaan.

“Dalam mana-mana organisasi politik kita terpaksa menjalani proses ini kerana ini demokrasi yang berkait rapat kepimpinan negara khususnya di peringkat UMNO.

“Malah kita merupakan parti terbesar yang mempunyai ahli terbesar sudah tentu apa yang berlaku dalam UMNO ini merupakan satu perkara yang penting ramai rakyat yang ingin tahu.

“Jadi proses (Pemilihan) ini berjalan untuk memilih pemimpin di peringkat parti ini juga mesti telus dan terbuka kepada ‘scrutinization/scrutiny of public’ itu amalan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Perwakilan yang turut sama menyaksikan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Johari yang juga calon bagi Naib Presiden UMNO pada masa sama turut meluahkan kesyukuran kerana parti keramat ini sentiasa didukungi oleh akar umbi yang rasional dan terbuka dalam setiap tindakan mereka terutama membabitkan pemilihan ini.

“Kalau kita tengok dari segi keterbukaan, nampak semua bahagian-bahagian mempunyai pengalaman untuk mengendalikan mesyuarat dengan penuh tenang dan teratur tidak ada insiden yang tidak diingini,” ujar beliau.

Hari ini merupakan penentu kepada barisan kepimpinan masa hadapan baharu UMNO apabila Mesyuarat Perwakilan yang berlangsung turut menyaksikan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Berlangsung serentak di seluruh negara, ianya akan dipantau oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) yang dilantik bagi memainkan peranan dalam memastikan perjalanan pemilihan kali ini berjalan lancar serta mengikut lunas-lunas etika seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.