Keputusan Pemilihan UMNO Dijangka Malam Ini – Ahmad Maslan

PONTIAN, 18 Mac – Keputusan pemilihan UMNO bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dijangka akan diketahui pada malam ini, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Kita jangka mendapat keputusan pada sebelah malam. (Paling lewat) harapnya dapat gambaran menjelang tengah malam.

“Jangkaannya begitu, kecuali bahagian itu kecil (dengan) perwakilannya tidak ramai, mungkin boleh mendapat keputusan pada sebelah petang. Kalau macam di Pontian ini, perwakilan ramai iaitu seramai 690 orang, jadi ia ambil masa untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas proses pemilihan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata pemilihan hari ini, melibatkan sebanyak 189 bahagian daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.

“Hanya dua UMNO bahagian yang tidak menjalankan pemilihan berikutan digantung akibat masalah tertentu iaitu Tanah Merah, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan.

Ia diikuti Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat, diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac lepas.

Pemilihan UMNO berakhir hari ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian, bersama pemilihan Ahli MT. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.