Teruskan Perjuangan… Bertaut Antara Satu Sama Lain Meskipun Tidak Terpilih – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru calon-calon yang bertanding untuk sentiasa meneruskan perjuangan meskipun tidak dipilih oleh perwakilan sebagai kepimpinan pada musim pemilihan ini.

Jelasnya, pentas demokrasi ini perlu dizahirkan dengan keseronokan di samping bertaut antara satu sama lain, memberikan sokongan dan dukungan.

“Pesta demokrasi ini bererti menzahirkan perasaan keseronokan. Calon yang menang, dakap yang kalah untuk bersama. Calon yang kalah, kena meneruskan perjalanan dalam perjuangan kerana ada orang kata dia kalah hari ini mungkin dia akan menang esok.

“Ada orang yang menang esok tetapi dia kalah di belakang hari. Sesiapa jua yang pernah melalui proses kekalahan itu bukan titik noktah terakhir. Kalah atau menang bukan satu alasan untuk berputus asa sebaliknya ‘we must rise again’ dan bangkit semula,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Reezal Merican turut berpendapat bahawa pemilihan ini adalah sebuah pentas demokrasi parti dan dapat membangkitkan semangat para perwakilan mahupun calon-calon yang menawarkan diri.

“Alhamdulilah perjalanan Majlis Pengenalan Calon adalah satu acara yang baik kerana ia membuka ruang untuk para perwakilan mengenali calon secara lebih dekat. Berlangsung dengan meriah sekali dan membangkitkan semangat dengan perasaan luar biasa.

“Bagi saya, pemilihan ini boleh kita gunakan sebagai pentas untuk menyemarakkan semangat, seakan-seakan ianya sebuah pesta demokrasi dalam UMNO. Bahkan, saya dapat menyaksikan bahawa keseronokan di antara perwakilan dan ahli-ahli UMNO dapat mengenali secara lebih dekat dengan pemimpin-pemimpin daripada luar,” katanya lagi.

Beliau yang juga menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO dengan memegang calon nombor enam pada musim pemilihan kali ini turut berharap agar pemilihan ini dapat menyemarakkan semangat ahli dan akar umbi untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Pemilihan ini juga boleh menjadi satu perkara yang boleh menyemarakkan semangat terutamanya kita nak berdepan dengan PRN,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.