Pemilihan 2023 Sejarah Ulung UMNO, Sokongan Akar Umbi Pasca-PRU Untuk Kembali Bangkit – Mohd Rafi

LABUAN, 17 Mac – Pemilihan UMNO Sesi 2023-2026 yang sedang berlangsung sekarang ini adalah antara sejarah dalam parti apabila ramai yang menawarkan diri di kala UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini gagal mendapat sokongan penuh semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hussin mengalu-alukan perkembangan positif anggota parti yang tentunya mahu agar UMNO bangkit kembali dengan menolak perpecahan biarpun ada pertandingan dan pemilihan di peringkat Bahagian dan Pusat.

“Tahun ini adalah tahun pemilihan UMNO seluruh negara, bila ada pemilihan sudah pasti akan ada pertandingan sedangkan kita mahu menolak perpecahan kerana bimbang timbul bibit-bibit permusuhan, namun kita sama-sama doakan pertandingan ini hanya dalam satu keluarga sahaja iaitu selepas ini kita semua bercantum dan bergabung semula dalam ikatan yang lebih kukuh demi memastikan parti terus utuh dan kuat di semua peringkat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau memaklumkan bahawa menerusi pemilihan yang berlangsung, 70% daripada 191 bahagian ada pertandingan di peringkat tertinggi jawatan terbabit, 95% pertandingan di peringkat jawatankuasa bahagian, 85% di peringkat wanita bahagian, 95% di peringkat pemuda dan 90% peringkat puteri bahagian.

“Untuk makluman, ada kawasan yang bertanding melibatkan enam hingga lapan penjuru bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian yang tentunya menawarkan diri adalah bagi menyumbang khidmat bakti membantu dan bersama-sama barisan kepimpinan untuk kembali memperkukuh UMNO.”

Beliau yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan turut menawarkan diri bagi jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dengan nombor calon 79 mengakui bahawa perpecahan akan menyumbang kepada kegagalan UMNO untuk bangkit kembali.

“Kenapa perlu bergaduh dan berpecah hanya kerana mengejar jawatan… sudahlah kita kalah PRU, ramai tinggalkan kita ketika tewas, maka Pemilihan UMNO ini adalah manifestasi terbaik bagi kita angkat semula kebersamaan yang diaplikasi dari akar umbi iaitu dengan jayanya mesyuarat UMNO peringkat Cawangan membawa kepada peringkat pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri Sabtu lalu.

“Setelah saya diangkat menjadi Ketua Bahagian dengan sokongan yang baik dari kepimpinan UMNO diperingkat Bahagian, maka tentunya saya bertekad dan beriltizam akan meneruskan perjuangan UMNO, membela nasib bangsa dan kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO/BN demi masa hadapan negara.

“Apa yang lebih penting, khidmat bakti UMNO tidak akan dapat diteruskan berseorangan, sebaliknya ia menuntut kerjasama padu dalam satu pasukan daripada semua peringkat Cawangan, Bahagian waima Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk memastikan parti ini kembali ke naluri hati rakyat secara holistik.”

Beliau yakin, berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun sebagai ahli UMNO yang bermula dari ahli biasa, diangkat menjadi Ketua Pemuda Labuan dan kini ketua Bahagian maka tentunya banyak perkara akan dapat dimanfaat demi kelangsungan perjuangan UMNO.

“UMNO telah melalui banyak cabaran dan onak duri politik di dalam negara sama ada di peringkat Cawangan, Bahagian, Negeri dan di peringkat Pusat.

“Ranjau yang parti kita lalui ini tidak pernah berlaku pada parti lain dalam negara ini maka tentunya kita aplikasikan kematangan politik ini demi kembali atas tekad memakmurkan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.