Kewujudan Media Digital Signifikan Keterbukaan Rakyat Kepada UMNO – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan kehadiran saluran media digital yang memberikan signifikannya tersendiri kepada keterbukaan rakyat kepada parti.

Katanya, ini kerana perkembangan media menuntut perubahan baharu kerana rakyat kini mudah dalam menerima maklumat terutama menerusi media sosial.

“Dunia tanpa sempadan, langit terbuka dan menempuh global, terbukti sebagai satu realiti baharu dalam dunia komunikasi. Saluran televisyen (tv) digital penting bagi khalayak yang telah mula memilih untuk terus mengikuti dan menonton konten atas isi kandungan serta persembahan atas talian, online tv.

“Lantas, NRChanneltv tidak tertinggal dalam mengikuti perkembangan teknologi dan juga gelombang baharu ini. Saya harapkan jumlah penonton bertambah, tentu sekali kerana kontennya berbeza dari mana-mana saluran lain dan saya akan memberikan dukungan secara peribadi dan secara rasmi sebagai orang parti kita akan terus memberikan sokongan, dukungan kepada NRChanneltv, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui media selepas melancarkan Majlis Perasmian NRChanneltv di ibu pejabatnya, Jalan Ipoh malam tadi. Turut hadir adalah Pengarahnya, Datuk Rafi Awang Kechik.

Ahmad Zahid juga menambah saluran media menerusi jalur internet tidak dapat dielakkan kerana ianya merupakan satu gelombang terkini terutama mendepani perubahan arus perkembangan baharu bagi masa hadapan.

“Kita tidak harus berada dalam kepompong yang jumud, perlu mengikuti perkembangan teknologi komunikasi ini dan kita mesti menyesuaikan, bukan sahaja konten isi kandungan tetapi semua kemudahan dalam teknologi baharu ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.