Bendera Pelangi Eksploitasi Perhimpunan Hari Wanita, PDRM Perlu Tegas Siasat Penganjur Dan Peserta – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia meluahkan kekesalan dengan tindakan pihak tertentu yang menggunakan perhimpunan dan perarakan sempena Hari Wanita 2023 di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mempromosi gaya hidup bertentangan dengan fitrah kehidupan.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sepatutnya sambutan tersebut digunakan sebaiknya dalam menghargai dan mengangkat hak-hak wanita khususnya di Malaysia.

“Sambutan Hari Wanita adalah untuk menghargai wanita yang sentiasa mencurahkan kasih sayang, mengekalkan akhlak mulia, memastikan diri dan keluarga sihat, sentiasa mempertingkatkan ilmu dan memelihara keharmonian sekeliling.

“Namun amat dikesali ruang kesempatan untuk menghargai dan mengangkat hak-hak wanita di Malaysia khususnya dipraktikkan secara salah oleh segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mempromosi gaya hidup yang tidak mengikut fitrah kehidupan.

“Puteri UMNO Malaysia memandang berat tentang perhimpunan dan perarakan hadapan di Kompleks Sogo serta Dataran Merdeka pada 12 Mac 2023 lepas, kami tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang negara.

“Oleh itu, Puteri UMNO juga menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan menjalankan siasatan sewajarnya serta mengambil tindakan tegas ke atas penganjur dan peserta perhimpunan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Nurul Amal menambah sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat yang berbilang agama dan bangsa wajib akur dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, segala usaha promosi dan cubaan menormalisasikan gaya hidup songsang serta tidak mengikut fitrah insanmesti di tolak sama sekali, terutama yang bercanggah dengan nilai Islam.

“Sekali lagi Puteri UMNO Malaysia menggesa jika siasatan pihak berkuasa mendapati ada pelanggaran undang-undang, tindakan tegas dan setimpal mesti dikenakan kepada semua yang terlibat sebagai pengajaran supaya aktiviti songsang ini tidak berulang Kembali.

“Ini boleh mengundang keadaan kacau ganggu di dalam negara. Amat di kesali jika benar seperti di dakwa bahawa perarakan berselindung di sebalik penganjuran perhimpunan tersebut. Apatah lagi terdapat peserta perarakan dan perhimpunan itu yang memegang bendera Pelangi yang sinonim dengan simbol LGBT.

“Usaha mengumpulkan serta mengangkat martabat Wanita bukan lagi satu perkara baru. Ayuh kita teruskannya bersama demi membawa imej yang lebih kuat. Selamat Hari Wanita Sedunia buat seluruh kaum hawa di Malaysia terutamanya,” ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya memaklumkan bahawa penganjur akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung perhimpunan dan perakan tersebut.

Katanya, berdasarkan pemerhatian kira-kira 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan terbabit malah ada dalam kalangan mereka memegang plakad “Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride,Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body” dan lain-lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.