Pemilihan 2023: Pentingkan Urus Tadbir Terbaik Sepanjang Perjalanan Mesyuarat, Pengundian 18 Mac

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023 berharap perjalanan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan berjalan lancar dengan menumpukan kepada kepentingan melaksanakan urus tadbir terbaik pada Sabtu, 18 Mac ini.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad, mengesyorkan Pengerusi Tetap persidangan ketika hendak memulakan proses pengundian, pengumuman membabitkan jumlah perwakilan yang hadir dan terlibat dengan pengundian perlu dilakukan.

“Ketika Pengerusi Tetap mengambil tempat setelah memulakan mesyuarat perwakilan dia umumkan ahli perwakilan yang layak mengundi di dalam bahagian berkenaan.

“Katakan 500 orang, kemudian sebelum bermulanya proses pengundian membuat pengumuman bahawa untuk pengundian kali ini seramai 450 orang yang hadir dan akan mengundi serta menyatakan secara tegas bahawa apabila sudah diumumkan pengundian bermula tidak dibenarkan mereka yang datang lewat untuk menyertai proses pengundian,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau ia bertujuan mengelakkan kekeliruan dan pertelingkahan di kalangan perwakilan yang hadir.

“Ini bagi mengelakkan pertelingkahan dari segi jumlah kertas undi yang dikeluarkan berbanding pula dengan jumlah yang diumumkan sebagai kehadiran kalau dibuat pengumuman itu terlebih awal pada peringkat permulaan mesyuarat,” ujar beliau.

Menurut Shahrir, perkara tersebut perlu dilakukan bagi menambah baik perjalanan mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian terutamanya dari segi proses pemilihan bersandarkan kepada pengalaman ketika di peringkat Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri.

“Kerana ianya antara yang menjadi asas dalam bantahan kepada perwakilan sayap tentang kehadiran perwakilan, jumlah kertas undi dan mereka yang terlibat dalam pengundian.

“Ini nasihat saya dan harap JPU bahagian akan peka dan sama-sama menenangkan keadaan dan tentukan bahawa mesyuarat kita di peringkat perwakilan bahagian dapat berjalan dengan baik kerana kita perlu utamakan urus tadbir yang baik jadi sebab itu ia harus diambil perhatian,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau pada masa sama mencadangkan bahagian di seluruh negara untuk menyediakan dua pasukan mengira undi bagi memudah dan menyegerakan penentuan keputusan-keputusan tersebut.

“Saya harap yang mana boleh, untuk urus setia UMNO bahagian menyediakan dua pasukan kiraan undi supaya ianya dapat dilakukan secara serentak, tidaklah dalam keadaan menghabiskan kerja mengira di peringkat nasional kemudian bahagian atau sebaliknya.

“Jadi sebab itu saya berharap kepada bahagian-bahagian mempunyai tempat yang sesuai dari segi bilik mengira undi dengan dua pasukan pengiraan ini akan membantu mempercepat penyampaian maklumat,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.