Kerja-Kerja Tanah Pembinaan Pusat Data Melebihi 50 Peratus – Ab Rauf
Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tanggungjawab menyelia projek pelaburan syarikat berpangkalan di Hong Kong itu digalas oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Selepas syarikat Amazon memilih lokasi lain sebagai pusat pelaburan mereka di Malaysia, sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong berkaitan pusat data (menunjukkan) minat dan memilih Melaka untuk melabur malah telah membeli sebidang tanah di Ayer Keroh.
“Justeru MIDA sedang memberi galakan untuk mereka datang beroperasi di Melaka dan projek ini akan memberi pulangan kepada rakyat terutama dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) yang bertanya mengenai pemilihan lokasi lain dalam membuat pelaburan di Malaysia oleh Amazon Wealth Services.
Terdahulu beliau menjawab soalan asal dikemukakan Adly mengenai nilai pelaburan diterima negeri Melaka pada 2022 dan negara-negara yang terlibat dalam menyumbang kepada peningkatan pelaburan diterima hingga kini.
Ab Rauf berkata beliau sendiri dijemput untuk membuat penilaian awal pada Disember lepas bagi melihat bagaimana syarikat tersebut bersedia melabur di Melaka.
Dalam pada itu Ab Rauf berkata setakat Disember 2022, Melaka mencatat nilai pelaburan berjumlah RM8.5 bilion merangkumi pelaburan domestik dan asing.
Katanya ia antaranya membabitkan sektor pembuatan, pertanian, komoditi dan perkhidmatan, elektronik dan elektrik serta produk petroleum. – BERNAMA