Video Tular: Shahrir Tegaskan Jaga Dan Pertahankan Integriti Proses Pemilihan UMNO

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad menegaskan agar para perwakilan menjaga dan pertahankan integriti proses pemilihan UMNO.

Beliau berkata demikian berikutan hari ini tular sebuah video kekecohan berkaitan pemilihan yang dikatakan membabitkan UMNO Bahagian Titiwangsa.

Jelas Shahrir, pihak JPU belum menerima apa-apa bantahan tentang perkara atau situasi yang ditularkan itu.

“Melalui video-video yang telah diambil di dalam pusat pengiraan undi, kita belum terima apa-apa bantahan jadi bermakna kalau kita tak terima apa-apa bantahan sehingga hari Selasa apa yang kita akan lakukan ialah mengambil tindakan terhadap pihak yang telah mengambil video itu dan ‘memviralkannya’.”

“Ini bukan satu perkara yang boleh kita galakkan kerana apabila ‘diviralkan’ video seperti itu, ia menimbulkan berbagai-bagai spekulasi. Jadi pihak yang bertanggungjawab membuat video, mengambil video dan juga mengedarkan ke alam maya akan berdepan dengan tindakan kerana ia satu perbuatan atau kelakuan yang tak boleh kita terima dalam keadaan kita berhadapan dengan pemilihan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn berkaitan Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO membabitkan seramai 164,000 perwakilan dari seluruh negara.

Ujar Shahrir, apabila ‘diviralkan’ sedemikian ia akan menimbulkan spekulasi berbagai-bagai.

“Ada yang kata ditangguhkan, ada yang kata digantung dan sebagainya sedangkan ‘viral’ yang didedahkan itu tidak selari dengan penjelasannya. Ia hanya menangkap atau merakamkan situasi pada ketika itu yang boleh menimbulkan spekulasi dan juga menjejaskan nama baik UMNO itu sendiri.

“Kita mesti jaga dan pertahankan integriti proses pemilihan UMNO dan saya tak nampak pengedaran atau penyebaran video itu membantu ke arah itu.”

Maklumnya, secara prinsipnya JPU memberi masa selama tiga hari selepas perwakilan bermula (semalam) untuk melakukan bantahan.

“Sebagai Pengerusi JPU saya akan bertindak tegas selepas Selasa ini, kalau tidak ada bantahan secara rasmi tentang perkara yang berlaku seperti yang dikatakan melalui video itu.”

Dalam masa yang sama, Shahrir memaklumkan telah menerima aduan adanya bahagian yang perlu mengadakan mesyuarat perwakilan sayap-sayap mereka kerana adanya bantahan.

“Pada prinsipnya kita akan memberi masa selama tiga hari selepas perwakilan bermula semalam, tiga hari untuk mana-mana pihak yang terkilan untuk menyampaikan bantahan. Jadi dalam masa tiga hari… masih ada dua hari yang tinggal sehingga hari Selasa, kita menunggu bantahan-bantahan dan akan membuat keputusan yang sewajarnya.

“Satu bantahan bagi Wanita Bahagian Kuala Kedah kita sudah terima… sudah pun dengan persetujuan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah untuk mengadakan pemilihan Wanita Bahagian Kuala Kedah iaitu diadakan dalam tempoh yang terdekat sebelum daripada 17 Mac atau hari Jumaat yang akan datang.

“Ada juga lagi beberapa bantahan yang kita terima dan akan menelitinya serta membuat keputusan dalam masa terdekat . Jadi sehingga hari Selasa tak tahu berapa banyak bantahan yang akan diterima tapi bantahan-bantahan yang diterima buat masa ini akan dilihat dan disiasat untuk ditentukan tindakan yang selanjutnya.” – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.