UMNO Buat Laporan Polis Terhadap Rancangan Menjatuhkan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Satu laporan polis telah dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah terhadap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang yang telah mengeluarkan kenyataan mengenai rancangan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, laporan polis tersebut dibuat agar pihak polis melakukan siasatan terhadap kenyataan yang mampu untuk menggugat kestabilan politik negara.

“Laporan polis yang saya buat sebentar tadi adalah terhadap kenyataan dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku pimpinan Pas yang mengatakan bahawa mereka mempunyai rancangan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, laporan telah dibuat tadi untuk meminta pihak polis melakukan siasatan terhadap kenyataan tersebut. Bagi saya dalam keadaan politik hari ini, kita minta Hadi Awang untuk melihat kembali kenyataan beliau kerana kita memerlukan kestabilan politik.

“Kita tidak mahu berlakunya perpecahan kerana Kerajaan Perpaduan ini dilahirkan sebab titah Yang di-Pertuan Agong. Apabila ada gerakan-gerakan seperti ini, maka ianya sebuah perkara yang tidak sihat buat politik negara,” katanya ketika ditemui sejurus selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut Armand, kenyataan Abdul Hadi tersebut akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik yang akan memberi impak kepada ekonomi negara dan rakyat.

“Kita bercerita tentang kestabilan politik negara sebab selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, negara kita dilihat berkongsi kuasa sekali lagi untuk menubuhkan kerajaan. Apabila ada kenyataan-kenyataan sebegini, ia mendatangkan perkara yang tidak baik untuk negara kita terutamanya dalam kita hendak mendapatkan pelabur asing.

“Kita nak menstabilkan ekonomi negara, apabila keluar kenyataan sebegini macam mana pelabur-pelabur asing nak datang ke negara kita? Akhirnya, ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara dan rakyat. Kenyataan ini perlu disiasat. Kita kena letakkan kestabilan politik sebagai keutamaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut meminta para pemain politik untuk menghentikan drama politik dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan bagi mentadbir negara.

“Kita sebuah negara demokrasi maka kita menghormati sistem tersebut. Tetapi, kita perlu lihat situasi politik negara hari ini. Kita kena letak rakyat sebagai keutamaan kerana mereka terkesan dengan kos sara hidup, harga barangan makin meningkat.

“Ini bukan masanya untuk bermain politik. Cukup-cukuplah. Kalau nak berlawan pun, kita lawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang. Stop this political nonsense it’s time for us to work together,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan bahawa Pas mengakui Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata mengikut sistem demokrasi negara, perkara itu boleh dilakukan dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.