Terima Duit ‘Kickback’ Kontrak Rundingan Terus Adalah Salah Guna Kuasa – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Menerima duit timbal balas atau ‘kickback’ ke dalam akaun parti politik selepas mendapat kontrak rundingan terus serta membuat sumbangan politik susulan mendapat pelepasan cukai adalah salah guna kuasa dan rasuah.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata, perkara itu berlaku dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung projek Jana Wibawa dan pelepasan cukai Yayasan Al-Bukhary.

Menurutnya, ia kerana sumber wang berkenaan adalah wang rakyat yang tidak boleh diguna untuk kegunaan parti politik.

“Baru sekejap tadi (semalam) Muhyiddin kata dia tidak bersalah sebab yang meluluskan projek Jana Wibawa untuk kontraktor bumiputera itu bukan dia, tetapi Menteri Kewangan. Dia juga kata duit yang masuk ke dalam akaun PPBM (oleh kontraktor-kontraktor ini) juga tidak salah sebab itu kononnya adalah sumbangan politik.

“Apabila kawan dia diberi pengecualian cukai oleh kerajaan dan selepas itu kawan dia pun ‘derma’ masuk ke dalam akaun parti, itu pun bagi dia tidak salah. Dalam dunia Muhyiddin, ini semua suci dan sedekah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, sumber kewangan rakyat tidak boleh digunakan untuk parti politik dan ianya merupakan salah guna kuasa serta rasuah.

“Tan Sri Muhyiddin, mengikut fakta dan undang-undang dalam bahasa mudah, jika ada kontraktor dapat kontrak rundingan terus daripada senarai yang diberi oleh Pejabat Perdana Menteri, kemudian kontraktor ini memasukkan duit timbal balas atau ‘kickbac’” ke dalam akaun parti politik ianya digunakan untuk kempen pilihanraya, itu adalah salah guna kuasa serta rasuah.

“Wang rakyat ini tidak boleh diguna untuk kegunaan parti politik sebab mereka bayar cukai bukan untuk Tan Sri beri projek bagi meraih sumbangan kepada parti dan untuk belanja pilihanraya parti Tan Sri. Ia adalah salah guna kuasa dan rasuah.

“Samalah kesnya apabila Tan Sri atau parti Tan Sri dapat sumbangan daripada kawan Tan Sri yang diberi pengecualian cukai oleh kerajaan ketika Tan Sri berkuasa. Duit cukai ini sepatutnya diterima dan digunakan oleh kerajaan untuk bantu rakyat, bukan dikecualikan dan diterima oleh parti Tan Sri untuk kempen parti politik Tan Sri, berbelanja mewah semasa pilihanraya ketika rakyat sedang susah selepas wabak COVID-19,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham menyarankan agar para pemimpin Perikatan Nasional (PN) khususnya Muhyiddin yang terpalit dengan skandal tersebut agar membela diri di mahkamah atas salah laku tersebut.

“Apa-apa pun boleh jawab semua ini di mahkamah dengan saksi dan di hadapan hakim seperti orang lain.

“Ahli politik lain sudah bertahun naik turun mahkamah. Jangan Tan Sri mengelak pula. Salam,” katanya lagi.

Pagi tadi media melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan (PN) dan bekas Perdana Menteri itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.