Pertikai Surat RoS: Isham Jalil Gesa KJ Baca Akta Sebelum Beri Komen

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil meminta bekas ahli UMNO, Khairy Jamaluddin untuk meneliti segala dokumen melibatkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkaitan UMNO sebelum memberi sebarang komentar.

Memberi ulasan mengenai video dimuatnaik oleh Khairy yang popular dengan panggilan KJ di media sosial semalam, Isham turut membidas pengakuan bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu yang ternyata keliru dengan keabsahan surat-surat tersebut.

“Berkenaan dengan isu RoS, saya ada tengok kenyataan daripada bekas ahli UMNO iaitu KJ. Nombor satu dia cakap sekiranya surat daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution tidak dikeluarkan, sesiapa yang cakap bahawa UMNO mungkin akan diharamkan atau dibubarkan adalah bodoh.

“Surat daripada RoS itu sebenarnya tidak jelas dan menimbulkan pelbagai tafsiran begitu juga dengan surat daripada Saifuddin Nasution. Macam mana pulak KJ cakap sekiranya surat itu tidak dikeluarkan, UMNO boleh diharamkan atau dibubarkan?

“Dalam surat itu ada disebutkan Seksyen 13 Akta Pertubuhan 842, berkenaan dengan penggantungan dan pembubaran. Ianya spesifik dan membawa maksud sekiranya surat itu tidak keluar dan kalau memang RoS buat keputusan bahawa UMNO tidak mengikut peraturan tanpa surat tersebut, maka UMNO boleh diharamkan, digantung dan dibubarkan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Jelasnya, tindakan KJ itu menunjukkan bahawa beliau berniat untuk menghasut ahli-ahli parti yang lain.

“Saya nak bagitahu KJ sebelum dia memberi komen sebegitu, bacalah dahulu akta tersebut. Apa yang dia sebutkan adalah surat daripada RoS yang dia sendiri cakap dia tidak tahu sama ada surat tersebut ‘genuine’ ataupun tidak.

“Katakanlah surat itu betul dan menteri pula kata berkenaan merujuk kepada Seksyen 13 itu bagi pengecualian. Kalau menteri tidak beri pengecualian maka Seksyen 13 itu berkuat kuasa. Saya tengok semalam KJ nak ‘cover’ balik sebab dia bawa isu ini meskipun dia bukan ahli UMNO lagi.

“Mungkin dia berniat untuk menghasut ahli UMNO sebab saya tengok dia dan kawan-kawan dia cuba nak UMNO ini haram atau digantung sahaja tanpa surat tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham turut membidas kenyataan KJ yang jelas tidak konsisten dan turut menjelaskan mengenai usul dibawa semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

“Surat daripada RoS itu mengatakan bahawa UMNO telah melanggar perlembagaan parti dalam artikel 9.3. Ianya menyebut bahawa jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) perlu dipertandingkan sebab tempoh hari kita bawa usul dalam PAU agar dua jawatan tertinggi ini tidak dipertandingkan.

“Selepas itu, Menteri Dalam Negeri pula keluarkan kenyataan memberi pengecualian terhadap Seksyen 13 tersebut. Itu apa yang mereka boleh baca daripada kenyataan yang mungkin tidak lengkap ini, ada pelanggaran. Oleh itu, UMNO boleh diharamkan, digantung melalui Seksyen 13 tetapi menteri bagi pengecualian.

“Tetapi kenyataan KJ itu cerita dia tak konsisten. Pada hemat saya, sebab menteri bagi surat menyatakan pengecualian kerana kalau surat daripada RoS tu betul, banyak perkara yang kita boleh pertikaikan,” katanya yang juga tidak pasti kesahihan surat RoS yang tular itu.

Pada Selasa media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO mengenai usul tambahan tersebut dan memberi pengecualian berdasarkan Seksyen 70 Akta 832. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.