Malaysia Tarik Pelaburan Diluluskan RM264.6 Bilion Pada 2022, Kedua Terbesar Pernah Direkod – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM264.6 bilion pada 2022, dengan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar, diikuti oleh sektor pembuatan dan utama.

Sektor perkhidmatan menyaksikan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM154 bilion atau 58.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2022.

Sementara itu, pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan berjumlah RM84.3 bilion (31.9 peratus) dan industri utama RM26.3 bilion (9.9 peratus), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata jumlah pelaburan yang diluluskan itu adalah rekod kedua terbesar yang pernah dicatatkan selepas 2021.

“Terdapat dua pelaburan besar ‘one-off” pada 2021 daripada Intel dan Risen Energy Co Ltd dari China,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai prestasi pelaburan Malaysia 2022.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 61.7 peratus atau RM163.3 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, manakala pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 38.3 peratus atau RM101.3 bilion.

Beliau menambah pelaburan yang diluluskan tahun lepas dijangka mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan di negara ini.

China menyumbang FDI terbesar sebanyak RM55.4 bilion, diikuti oleh Amerika Syarikat (RM29.2 bilion), Belanda (RM20.4 bilion), Singapura (RM13.5 bilion) dan Jepun (RM11.4 bilion).

Sebilangan besar pelaburan yang diluluskan adalah di Johor (RM70.6 bilion), Selangor (RM60.1 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion), Kuala Lumpur (RM25.0 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion), katanya.

“Ini (pelaburan) mesti dipertingkatkan lagi dalam masa terdekat, terutamanya dengan tumpuan baharu kami pada dasar ekonomi yang berkesan, persekitaran pelaburan yang menggalakkan, kestabilan politik dan promosi pelaburan yang lebih diselaraskan oleh semua agensi, baik di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri,” kata Tengku Zafrul.

Beliau menekankan bahawa pembaharuan Dasar Pelaburan Baharu Malaysia adalah konsisten dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang bertujuan untuk menetapkan semula ekonomi negara dengan meningkatkan keselamatan, menggalakkan kesejahteraan dan keterangkuman, dan memajukan kelestarian.

“Malaysia juga sedang berusaha untuk muncul dengan pantas sebagai hab digital Asean, dipacu oleh beberapa faktor utama, termasuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi yang sangat maju, rangka kerja perlindungan harta intelek yang kukuh dan kumpulan bakat,” katanya.

Beliau berkata inisiatif ‘Akademi di Kilang’ Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) di bawah Belanjawan 2023 juga akan memastikan aliran tenaga mahir yang stabil yang sepadan dengan keperluan industri.

“Langkah sedemikian akan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi perniagaan yang ingin mengembangkan keupayaan digital dan jejak serantau mereka,” katanya.

Bagi unjuran pelaburan untuk 2023, beliau berkata pertumbuhan ekonomi global yang sederhana mungkin memberi kesan kepada keputusan pelaburan secara global.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang positif tetapi perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya, jadi pelaburan juga akan terjejas kerana ia juga bergantung kepada permintaan.

“Keputusan untuk membuat pelaburan sedikit berbeza daripada perdagangan kerana ia berdasarkan rancangan jangka panjang, dan perkara paling penting ialah fundamental negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa ekonomi Malaysia akan terus berkembang dalam julat unjuran 4.0-5.0 peratus tahun ini.

“Sebagai tambahan kepada sasaran misi perdagangan dan pelaburan kami yang berterusan, kami terus mengambil bahagian dalam perjanjian perdagangan bebas pelbagai hala seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Ini akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara kita dan seterusnya memberi manfaat kepada kehidupan rakyat Malaysia dan komuniti perniagaan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.