Malaysia Tidak Akan Alami Kegawatan Ekonomi Tahun Ini – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan eknomi pada tahun 2023.

Menurutnya, jangkaan itu berdasarkan prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka berkembang sekitar 4.5 peratus tahun ini.

“Di Dewan Rakyat saya sebut Malaysia tidak akan alami kegawatan ekonomi tahun 2023, insya-Allah.

“Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia 2023 pada kadar 4.4 peratus dan 4 peratus.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO itu turut mengumumkan beberapa bantuan yang akan disalurkan kepada rakyat bagi mengurangkan beban mereka.

“Antara bantuan rakyat saya sebut di Dewan Rakyat ialah, RM64 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif; RM8 bilion untuk sembilan juta rakyat mencakupi Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS) akan memperoleh RM40 bilion geran, insentif, pinjaman dan jaminan serta kurang dua peratus cukai pendapatan antara RM 35,000 sehingga RM100,000 tambah hingga RM1,300 pendapatan boleh guna,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menjawab soalan jika Kadar Dasar Semalam (OPR) akan meningkat lagi, Ahmad berkata, semua pihak perlu menunggu kerana kadar 2.75 OPR ketika ini telah berjaya mengekang inflasi.

“Persoalan apakah OPR ini akan dinaikkan masa akan datang, kita tunggu, yang penting dengan kadar 1.72 kepada 2.75 itu telah berjaya mengekang kadar inflasi dan dijangka inflasi tahun ini adalah 3.3 peratus lebih rendah berbanding sebelum ini,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya, jumlah kes muflis dalam kalangan individu di negara ini menurun sejak 2016 daripada 19,588 kepada 5,695 kes pada tahun lalu.

Beliau berkata, trend penurunan itu meliputi kes muflis dalam kalangan belia berusia bawah 35 tahun yang mencatat 13.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada tahun lalu, berbanding 22.5 peratus dari 2017 hingga 2021.

“Terdapat pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi institusi kewangan bagi mengisytiharkan seseorang itu muflis, dan tindakan kebankrapan adalah jalan terakhir.

“Akta Insolvensi akan dipinda tetapi sebelum pindaan, Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah mengumumkan semua kes kecil yang (hutang) kurang daripada RM50,000 akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac 2023 dan ramai akan terbabit,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.