Presiden UMNO Pesan Kukuhkan Parti, Pertahankan Kerajaan

GEORGE TOWN, 5 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap barisan kepimpinan di peringkat sayap dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bakal dipilih kelak memberikan keutamaan agar parti diperkukuhkan.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, semua calon dan ahli mesti mengharapkan agar kerajaan yang ada pada hari ini yang turut didukung oleh UMNO mesti dipertahankan.

“Kita tidak mahu mana-mana tokoh yang akan terpilih berhajat untuk menggugat kerajaan yang sedia ada. Kerajaan yang ada ini mesti dipertahankan kerana UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan yang ada ini.

“Untuk itu, saya mengharapkan agar tidak ada kelompok-kelompok yang mempunyai rancangan-rancangan tertentu untuk menggugat perpaduan yang ada dalam parti dan mempunyai beberapa agenda tersembunyi bagi menggugat keutuhan yang ada,” pesannya ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon bagi peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini Sabtu malam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berkata dalam fasa berkempen ini ada peraturan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO dan ia mesti dipatuhi oleh semua pihak.

“Saya ingin mengingatkan dalam kita berkempen jangan ada dalam kalangan kita yang hilang kelayakan atau mana-mana yang menang, kemenangan itu dibatalkan.

“Kerana pihak pengurusan parti, pihak MKT menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO untuk menentukan peraturan dan tatalaku bagi calon-calon, apatah lagi juru kempen,” tambahnya.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga memaklumkan parti telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri yang mengesahkan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah menerima usul yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO 2022.

“Maka, adalah sah daripada surat itu bahawa hanya jawatan naib presiden ke MKT dan jawatan-jawatan di peringkat sayap yang ditandingi. Bertandinglah dengan baik-baik, insya-Allah saya akan turun ke setiap negeri (sesi Majlis Pengenalan Calon) untuk memperlihatkan komitmen saya bersama-sama calon yang ada,” katanya.

Untuk rekod, bulan lalu telah selesai diadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Cawangan serta pemilihan jawatankuasa bagi setiap peringkat.

Pada 11 Mac ini, Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama pemilihan jawatankuasa di peringkat bahagian dan pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara.

Begitu juga Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.