Mesyuarat Terakhir, Asyraf Ucap Terima kasih Kepada Keluarga Besar Pemuda UMNO

KOTA KINABALU, 5 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih kepada keluarga besar Pemuda UMNO dan memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan yang dilakukan sepanjang mengetuai pergerakan tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa mesyuarat terakhir Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi sesi 2018-2023 diadakan di Ibu Pejabat UMNO Sabah.

“Mesyuarat terakhir Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Sesi 2018-2023 diadakan di Ibu Pejabat UMNO Sabah Kota Kinabalu.

“Teringat ketika pertama kali menawarkan diri untuk bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Sabahlah negeri pertama yang memberikan sokongan dan dokongan padu. Malah Sabah jugalah destinasi pertama saya dan barisan Pemuda memulakan langkah turun jelajah ke seluruh 25 Parlimen membawa agenda Pemuda #BangkitKembali.

“Bermula di Sabah tanpa menoleh ke belakang kami cuba mengembalikan Pemuda UMNO ke akar perjuangannya dalam keadaan serba kekurangan kerana buat pertama kali kami mengambil tanggungjawab kepimpinan dalam keadaan UMNO hilang kuasa pada 2018,” katanya.

Menurutnya, pelbagai program telah disusun bagi menggerakkan semula sayap Pemuda UMNO dalam mengukuhkan kembali perjuangan parti.

“Berbekalkan hanya kudrat dan semangat #BangkitKembali, kami mula menyusun program Halaqah Ilmu, latihan demi latihan untuk memugarkan kembali idealisme, roh dan jatidiri perjuangan bersandarkan akar agama.

“Alhamdulillah, Allah membuka jalan-jalan keluar kepada segala kesulitan dan memberikan rezeki daripada pelbagai pintu yang tidak disangka. Walaupun tiada punya jawatan kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri mahupun Pengerusi mana-mana GLC, apatah lagi kemewahan sumber sebagaimana penjawat-penjawat sebelumnya, kami terus berjaya menelusuri semua 191 Bahagian Pemuda UMNO seluruh Malaysia.

“Pelbagai inisiatif baharu dengan penubuhan Skuad Sabil bagi tujuan menggerakkan agenda sukarelawan membantu rakyat, pembentukan UMNOSiswa untuk menyeragamkan gerakkerja pengkaderan mahasiswa dan menghidupkan kembali PUTERA UMNO bagi mendekati anak-anak muda remaja di bangku sekolah lagi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan segalanya agar diperhitungkan sebagai amal kebajikan yang mendapat ganjaran terbaik di akhirat kelak.

“Saya bukanlah Ketua Pemuda yang sempurna jauh sekali yang terbaik. Cuma Allah menjadi saksi bahawa saya telah cuba yang terbaik untuk memperkasakan kembali Pemuda UMNO dengan budaya baharu berteraskan roh perjuangan Islam dan bukan lagi berpaksikan kebendaan, kemewahan mahupun keangkuhan.

“Kepada Allah juga saya serahkan segalanya agar diperhitungkan sebagai amal kebajikan yang mendapat ganjaran terbaik di akhirat kelak.

“Terima kasih kepada seluruh warga dan ahli keluarga besar Pemuda UMNO dari kalangan Exco, kepimpinan Negeri sehinggalah ke 191 Bahagian dan Cawangan-Cawangan. Mohon maaf atas segala kekurangan, kelemahan dan kekhilafan sepanjang saya menakhodai bahtera Pemuda UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.