Banjir: Rakyat Johor Diminta Terus Peka, Dengar Arahan Pihak Berkuasa

BATU PAHAT, 4 Mac – Kerajaan negeri mengingatkan seluruh rakyat Johor untuk sentiasa peka dengan sebarang arahan pihak berkuasa dan terus menjaga keselamatan diri serta keluarga.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia susulan perkembangan laporan terkini berhubung luruan monsun terbaharu daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, bahawa hujan akan berpanjangan sehingga 5 Mac.

 

 

“Saya mohon semua dapat kongsikan hantaran ini agar maklumat tersebar kepada seluruh warga Johor.

“Amaran hujan di tahap bahaya di daerah Segamat, Kluang, dan Mersing. Manakala cuaca buruk di Muar, Tangkak, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Onn Hafiz berkata MetMalaysia juga meramalkan luruan monsun akan berterusan yang menyebabkan hujan lebat berterusan di timur semenanjung, manakala amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan sehingga 6 Mac.

“Hal ini berkemungkinan meningkatkan paras air laut di kawasan perairan Johor Timur dan berisiko berlakunya limpahan air laut,” katanya.

Setakat 4 petang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 39,476 orang di sembilan daerah di negeri ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.