Tidak Ada Kumpulan Dalam UMNO, Terus Terjemahkan Hala Tuju Dan Bangkit 2.0 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan siapa pun yang bertanding sebagai calon tidak ada kumpulan tertentu sebaliknya ia adalah dalam satu pasukan demi kelangsungan parti.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pemilihan ini juga memperlihatkan demokrasi di dalam UMNO tetap diraikan walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

“Kita mahu satu pasukan yang kuat dan dapat bersama-sama untuk menterjemahkan hala tuju, bangkit 2.0 kerana mahu terus relevan. Walaupun hanya sebahagian dari Kerajaan Perpaduan yang ada tetapi yakin jika dapat membina kekuatan semula, penyatuan ‘hijrah’ di kalangan ahli dapat dilakukan sepenuhnya.

“Jika mengenepikan perbezaan di kalangan kita, jika mengenepikan ‘kabilah-kabilah’ di kalangan kita dan yakin bahawa di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan serta Pilihan Raya Umum (PRU) lima tahun akan datang, Insya-Allah UMNO/BN akan relevan semula.

“Saya sangat meraikan perbezaan pendapat, berlainan pandangan. Ini terbukti di dalam beberapa banyak (mesyuarat) Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan. Seperkara lagi, saya amat hormati pada (mesyuarat) majlis pimpinan tertinggi dengan membiarkan perbezaan pandangan dan pendirian tetapi apabila MKT buat keputusan, kita akur dan patuh pada keputusan dilakukan,” katanya berucap di majlis pengenalan calon peringkat pusat bagi Pemilihan UMNO 2023 sini, malam tadi.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga menyeru perwakilan agar dapat memilih calon yang tepat dan mampu memberi khidmat bakti terbaik kepada parti.

Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berpesan kepada seluruh calon dan ahli UMNO agar terus mengikut garis panduan yang diberikan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

“Saya tidak mahu ‘campaign manager’ atau ejen menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai calon atau jika menang dibatalkan kemenanganya disebabkan oleh kempen manager dan ejen-ejen kita.

“Bertandinglah cara baik dan sebaik-baiknya mengikut garis panduan yang telah diberikan oleh Pengerusi JPU dan mempunyai pemantau-pemantau di setiap bahagian dan juga di setiap perjumpaan yang dianjurkan.

“Kami mahu supaya kemeriahan ini dapat dipertahankan dan gunakan tata etika sepenuhnya dan harap kekurangan undi bukan disebabkan kita bermusuh antara calon-calon yang ada,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang bertanding.

“Selamat maju jaya dan mudah-mudahan Allah SWT memberikan restu pada parti UMNO dengan memilih calon-calon yang terbaik untuk menang, untuk matlamat dan tujuan supaya parti kembali kuat untuk meneruskan perjuangan orang Melayu demi agama dan negara.” – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.