Penampilan Wajah Baharu Bukti Demokrasi UMNO Subur, Ramai Pemimpin Berpotensi

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Wajah baharu yang tampil sepanjang Pemilihan UMNO 2023 ini memberikan petanda bahawa demokrasi dalam parti masih subur dan kaya dengan pemimpin berpotensi.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, parti perlu mengambil peluang tersebut dengan sebaiknya dalam usaha memperkasakan semula UMNO.

“Wajah-wajah baharu yang bertanding dalam Pemilihan UMNO kali ini juga adalah signal yang jelas melebihi kesuburan demokrasi, malahan kekayaan bakat dan potensi ahli dan pemimpin UMNO ternyata masih ramai.

“Perkara lebih penting adalah, bagaimana parti mampu mengambil peluang ini memanfaatkan bakat dan potensi yang ada pada calon-calon tidak terpilih agar pemerkasaan parti berupaya dijalankan dengan baik,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Anis Anwar turut berkata, persaingan sengit jawatan Naib Presiden UMNO menunjukkan setiap calon yang menawarkan diri berpeluang mendapatkan sokongan perwakilan secara saksama.

“Setiap calon memiliki kelebihan dan kekuatan tersendiri sama ada dari segi pengalaman, prestasi atau trek rekod dan kedudukan semasa mereka.

“Pastinya perwakilan yang mengundi akan memilih calon yang terbaik sesuai dengan keperluan semasa parti dengan pertimbangan yang lebih mendalam.

“Umumnya, persaingan yang sengit dari kalangan calon Naib Presiden UMNO menunjukkan masing-masing berpeluang mendapatkan sokongan perwakilan secara saksama,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.