Pemilihan UMNO 2023: Proses Cabutan Undi Berjalan Lancar, Simbolik Semangat Kekeluargaan
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pemilihan UMNO 2023 memulakan tirainya apabila proses cabutan undi telah dilaksanakan dengan lancar semalam.
Cabutan undi bagi peringkat Pusat itu dilaksanakan pada jam 12.00 tengah hari apabila Pergerakan Puteri UMNO memulakan kehangatan pemilihan kali ini sambil ramai dalam kalangan calon meluahkan semangat mereka bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat parti.
Seterusnya, calon-calon bagi Pergerakan Pemuda, Wanita serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengambil bahagian bagi proses tersebut.
Bertempat di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, cabutan undi dilakukan oleh calon ataupun wakil calon. Namun, sekiranya calon tidak dapat menghadirkan diri maka Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) akan melaksanakan cabutan nombor bagi calon-calon berkenaan.
Pada cabutan nombor tersebut kesemua keputusan cabutan dipamerkan pada skrin televisyen di dalam auditorium dan senarai penuh keputusan cabutan serta nombor undian bagi setiap calon akan dipaparkan dalam laman sesawang www.umno-online.com.my .
Untuk rekod, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.
Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online