Wan Rosdy, Ismail Sabri Antara Enam Ketua Bahagian Menang Tanpa Bertanding

KUANTAN, 2 Mac – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara enam ketua bahagian di negeri ini yang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti kali ini.

Perkara itu disahkan Wan Rosdy selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini, yang memaklumkan ia ekoran tiada pencalonan lain diterima bagi pertandingan jawatan itu apabila tempoh tutup pada 26 Feb lepas.

Ini sekali gus menjadikan Wan Rosdy kekal menerajui Bahagian Cameron Highlands, Ismail Sabri di (Bera) manakala Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis).

Turut menang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun (Bentong), bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) dan Setiausaha UMNO Pahang Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar (Kuantan).

Sementara itu, mengulas mengenai pertandingan kerusi naib presiden UMNO yang mana beliau adalah seorang daripada tujuh yang menawarkan diri, Wan Rosdy berharap perwakilan akan membuat keputusan bijak untuk kebaikan parti.

“Semua yang menawarkan diri ada kekuatan sendiri dan merasakan layak untuk bertanding serta mempunyai hala tuju masing-masing dan dalam pertandingan, pasti ada kalah menang.

“Kita kena bersifat terbuka bila keputusan sudah dimuktamadkan dan tidak boleh salahkan sana sini kerana ini adalah demokrasi…sudah tentu perwakilan mempunyai asas dan sebab tertentu dalam menentukan siapa yang mereka mahu,” katanya.

Wan Rosdy juga berharap semua pihak termasuk bagi pertandingan di Pahang untuk berkempen secara sihat dengan ‘memasarkan’ diri mereka sebaiknya dan bukanya ‘mengata orang’ bagi memelihara keharmonian parti.

Selain Wan Rosdy, turut menawarkan diri untuk bertanding merebut tiga jawatan naib presiden ialah dua penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mereka yang lain ialah Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.