Pemilihan UMNO Peluang Terbaik Akar Umbi Bantu, Pulihkan Parti – Lilah Yasin

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong Datuk Lilah Yasin berkata jasa UMNO sangat besar dan perjalanannya pun sudah jauh serta sekarang ini memerlukan sokongan semua ahli parti.

Menurutnya, setiap ahli berkewajipan membantu dan memulihkan UMNO agar dapat terus menaburkan jasanya pada rakyat dan negara.

“Kalau dahulu UMNO menabur jasanya kepada rakyat dan negara, tetapi sekarang ini UMNO susah dan memerlukan pembelaan. Setiap ahli parti berkewajipan untuk membantu, memulihkan semula supaya bangkit, cemerlang dan boleh menaburkan jasanya seperti dahulu.

“Saya ingin membantu UMNO dan mengangkat semula sebagai satu parti yang kuat dan dominan serta boleh menubuhkan kerajaan yang teras serta dapat menyumbang usaha ke arah mengangkat semula maruah dan martabat UMNO yang lebih gemilang,” katanya.

Beliau ditemui oleh UMNO Online di Auditorium aras 4, Menara Dato’ Onn, WTCKL di sini baru-baru ini.

Lilah turut menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan berharap dapat menyampaikan suaranya terutama kehidupan rakyat yang berada di luar bandar.

“Sekarang ini rakyat di luar bandar berada di dalam keadaan terhimpit tetapi apa usaha dari kerajaan untuk membantu rakyat yang terhimpit ini dan yakin apabila suara ini dapat dibincangkan dalam MKT ianya akan menjadi suara cadangan, idea untuk membela nasib petani di kawasan luar bandar.

“Majoriti yang tinggal di luar bandar adalah orang Melayu dan teras ekonomi masih lagi pertanian. Terlalu sedikit pandangan menteri untuk mengangkat sektor ekonomi terutamanya dari orang UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.