Monopoli Faktor LRA Bukit Selambau, Sungai Limau Lambat Siap? – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin meluahkan kebimbangan dengan loji rawatan air (LRA) Bukit Selambau dan Sungai Limau yang difahamkan berhadapan dengan kesulitan tataurus sehingga menjejaskan naik taraf projek tersebut.

Jelas beliau kerisauan itu berasas kerana difahamkan kemajuan pembinaan dua projek itu masih berada di bawah paras 10 peratus disebabkan pelbagai alasan meskipun masa kini ia sepatutnya mencapai lebih 20 peratus.

“Secara kebetulan dua projek menaik taraf LRA Bukit Selambau di Kuala Muda bernilai RM129.4 juta dan LRA Sungai Limau di Baling bernilai RM89.8 juta telah dianugerahkan kepada syarikat berkaitan Widad Business Group (WBG).

“Selain itu, projek The Langkasuka yang bernilai sekitar RM40 bilion di Langkawi juga turut diberikan kepada syarikat WBG.

“Terbaru pada September 2022 lalu, WBG telah mengurniakan pakej kerja pembangunan tanah di Langkasuka Village fasa 1 yang bernilai RM40 juta kepada Widad Builders Sdn Bhd.

“Ada kemungkinan projek aset air seperti pembinaan LRA, mahupun projek NRW kelak akan mengalami kelambatan disebabkan oleh terlalu banyak projek yang dilambakkan kepada syarikat WBG,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok menambah WBG, melalui sebuah anak syarikat usaha sama juga telah dikurniakan projek mengatasi masalah Air Tidak Terhasil (NRW) melibatkan penggantian sistem paip lama yang bernilai sekitar RM970 juta.

“Walaupun projek-projek tersebut diselaraskan oleh pelbagai agensi, tak kira secara ‘tender terbuka’ mahupun ‘rundingan terus’, namun secara kebetulan semuanya memberi manfaat besar kepada syarikat WBG.

“Namun, kerisauan UMNO Negeri Kedah hanyalah tentang keberkesanan Widad dalam menyempurnakan tanggungjawab menjalankan pembinaan mengikut kemajuan projek yang sepatutnya,” ujar beliau.

Bagi penyelesaian terbaik Shaiful Hazizy berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bertindak tegas terhadap isu kelambatan dilakukan WBG.

“Bukan dengan sebaliknya iaitu dengan terus menerus menganugerahkan lebih banyak projek kepada WBG seolah sebagai ganjaran kerana mereka lambat.

“Setidaknya tetapkanlah syarat supaya disiapkan dahulu projek air sebelum diberi pula projek baharu yang lain,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.