Mohamed Khaled Kekal Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 28 Feb – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menang tanpa bertanding dan terus menerajui Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang selepas pencalonan ditutup Ahad.

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu dalam satu hantaran di media sosial di Facebook dan Instagram, malam tadi.

Mengucapkan terima kasih kepada semua anggota UMNO Pasir Gudang kerana memberi kepercayaan untuk terus menerajui UMNO Bahagian, beliau juga memberi jaminan akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaiknya.

“Jika ada yang terkurang, nasihatilah. Jika ada yang khilaf, tunjuki saya jalan yang benar dan betul. Saat ini parti kita di ambang pelbagai cabaran.

“Seruan saya ialah kita berusaha mengembalikan UMNO ke landasan asasinya. Sebagai sebuah parti kebangsaan demi menambah baik nasib dan masa depan bangsa dan tanah air,” katanya.

Beliau yang turut bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden menyeru anggota UMNO supaya menghindari segala perpecahan dan memperbanyakkan bekerja, berkhidmat dan menyumbang.

“Insya-Allah, dengan pendirian sedemikian, UMNO akan kembali diyakini oleh orang Melayu sebagai jurucakap terbaik bangsa,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu.

Menteri Pendidikan Tinggi yang juga bekas Menteri Besar Johor itu telah memimpin UMNO Bahagian berkenaan sejak 2004. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.