Malaysia Perlu Cari Jalan Tukar Kaedah Hasilkan Getah Beku Kepada Lateks – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Malaysia perlu mencari jalan untuk menukar kaedah penghasilan getah beku atau sekerap kepada getah cair atau lateks, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia berikutan Malaysia, yang merupakan pengeluar getah terbesar di dunia, masih mengimport kira-kira 80 peratus lateks atau susu getah melibatkan kos pengimportan kira-kira RM3 bilion.

“Malaysia adalah pengeluar getah terbesar di dunia…sebuah negara pengeluar sarung tangan, yang bahan utamanya adalah daripada lateks. Tetapi kenapa kita perlu mengimport lateks dari negara luar?

“Walaupun kerja banyak (proses penghasilan lateks yang rumit) dan tenaga kurang berikutan kebanyakan penoreh getah berada dalam lingkungan umur 60-an dan 70-an, yang penting ialah mesti dicari jalan dari segi pengeluaran lateks.

“Ia berikutan di Malaysia hanya terdapat tujuh depoh sahaja untuk pengumpulan bagi pengeluaran getah lateks,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia dengan topik ‘Pasca Belanjawan 2023: Memperkasa Desa MADANI’ terbitan RTM, hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata antara cadangan lain untuk membantu proses pengeluaran lateks ialah dengan memperkukuh koperasi terlibat sedia ada, serta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan peneroka getah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai bertambahan peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM500 juta berbanding 2022 dan bagaimana ia dapat memberi penambahbaikan kepada golongan bersasar, khususnya penoreh getah.

Di Malaysia, getah beku lebih popular dalam kalangan penoreh getah kerana proses penghasilannya yang lebih mudah, berbanding lateks yang lebih rumit.

Untuk menghasilkan getah beku, penoreh hanya perlu menoreh dan meninggalkan susu getah membeku dalam mangkuk sebelum mengutip hasil selepas tiga hari manakala untuk lateks, penoreh perlu menunggu susu getah berhenti menitik antara empat hingga lima jam, sebelum membawa hasil keluar dari kebun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.