KPT Kaji Sistem Anjal Belajar Dari Rumah Bantu Kurangkan Pinjaman Pelajar IPTA

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengkaji untuk memperkenalkan sistem anjal pembelajaran dari rumah, bagi membantu mengurangkan pinjaman pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif itu juga, dilihat dapat membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar.

ed “Kita sedang kaji untuk memperkenalkan sistem anjal, jadi pelajar boleh belajar di rumah beberapa semester dan kemudian sambung di universiti.

“Pelajar tidak perlu pinjam banyak duit, maknanya, belajar di rumah guna komputer, makan minum juga di rumah, jadi kurangkan kos sara hidup mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Biasiswa Perpaduan My Binary, di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif pembelajaran dari rumah juga, mendapat permintaan daripada pelajar berikutan ia pernah dilakukan semasa negara dilanda COVID-19.

Mohamed Khaled berkata KPT juga, sedang mengkaji untuk mengurangkan tempoh pengajian program universiti daripada empat kepada tiga tahun.

Beliau berkata usaha itu juga dapat mampu mengurangkan bebanan pinjaman pelajar.

Selain itu katanya, KPT juga mengkaji bagi mewujudkan tabung endowmen Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dengan penyumbang mendapat pengecualian cukai.

Sementara itu, beliau berkata terdapat peningkatan peruntukan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, iaitu daripada RM14.5 bilion tahun lepas kepada RM15.3 bilion tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata ia sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan, dalam memperkasa pendidikan tinggi demi manfaat dan pembangunan masa hadapan negara.

Beliau berkata ini termasuk peruntukan sebanyak RM50 juta bagi penyelidikan rentas agensi dan universiti, yang disifatkan sebagai penyelidikan bersifat nasional. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.