Belanjawan 2023: Peruntukan Kepada Wanita, Kanak-Kanak Diberi Perhatian Baik Oleh Kerajaan – Norshida

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim meluahkan kesyukuran dengan Belanjawan 2023 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang semalam.

Katanya meskipun bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak namun pastinya belanjawan kali ini tetap memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, jika dilihat peruntukan kepada wanita dan kanak-kanak masih diberi perhatian yang baik oleh kerajaan.

“Adanya dana untuk menyokong usahawan wanita, Pusat Sokongan Sosial Setempat juga mendapat peruntukan, pindaan akta untuk menggalakkan wanita kembali bekerja selepas cuti bersalin, galakan penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat dan beberapa perkara lagi.

“Menerusi konteks ekonomi, insentif percukaian untuk beberapa sektor bagi menarik minat pelabur sebagai usaha memulihkan ekonomi negara serta pemberian subsidi juga pastinya akan meringankan beban rakyat.

“Diharapkan agar pihak kerajaan akan menjelaskan berkaitan pemberian subsidi kerana rakyat perlu mengetahuinya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat menyimpulkan bahawa usaha baik daripada kerajaan perlu disambut baik berserta hati terbuka.

Jelas Norshida pastinya sesi perbahasan belanjawan yang akan berlangsung tidak lama lagi akan menjadi tarikan di Parlimen.

“Pastinya masih ada perkara yang perlu diperbincangkan dari blok kerajaan dan pembangkang demi kebaikan ekonomi negara dan rakyat Malaysia.

“Sebagai ahli Wanita UMNO, maklumat seperti senarai bantuan buat wanita, kanak-kanak dan keluarga B40 serta saluran pemberian bantuan amat penting untuk diambil maklum, kerana kita tetap meneruskan khidmat kepada akar umbi,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.