Proses Pendaftaran Pemilihan UMNO Berjalan Lancar, Pencalonan Terus Meningkat – Shahrir

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata proses pencalonan bagi pemilihan parti itu di peringkat pusat dan seluruh bahagian berjalan lancar serta menjangkakan peningkatan pencalonan menjelang tarikh akhir proses pendaftaran pada Ahad ini.

Menurut beliau sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ianya adalah petanda baik kepada proses demokrasi di dalam UMNO serta berharap mereka yang ingin menawarkan diri untuk bertanding segera menghantar borang pencalonan masing-masing.

“Kami jangka jumlah calon yang mendaftar akan meningkat lagi mulai hari ini sehingga ke hari Ahad apabila ditutup pendaftaran. Sehingga semalam, 11,369 calon telah pun mendaftarkan diri untuk bertanding di peringkat pusat dan juga bahagian seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 270 calon untuk jawatan di peringkat pusat merangkumi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO. Rata-rata kita melihat calon-calon adalah terdiri daripada muka-muka baharu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Shahrir seterusnya menambah daripada 74 yang telah menghantar borang pencalonan bagi jawatan MKT, 55 daripadanya muka baharu, manakala bagi Exco Wanita pula, 39 muka baharu daripada 55 pencalonan dan untuk Pemuda UMNO seramai 44 muka baharu daripada 45 orang yang telah mengesahkan pencalonan masing-masing.

“Secara keseluruhan, sambutan menggalakkan di seluruh peringkat bahagian dan kita hanya akan tahu secara tepatnya pada 26 Feb nanti apabila tarikh pencalonan tamat. Apa pun, Alhamdulillah proses pendaftaran di peringkat bahagian juga berjalan lancar  dan kita  berpuas hati,’ ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.