Belanjawan 2023 Seimbang – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai bajet seimbang melibatkan pendapatan dan perbelanjaan negara.

Beliau berkata ia berdasarkan jurang pengurangan pendapatan dan perbelanjaan negara yang berjaya diturunkan kepada lima peratus berbanding 5.6 peratus sebelum ini.

Menurut beliau belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini juga memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan yang menyentuh semua kelompok rakyat di negara ini termasuk golongan M40.

“Biarpun Pilihan Raya Umum ke-15 dah berlalu namun kumpulan sasaran diberikan peluang sama rata yang membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap rakyat daripada pelbagai kelompok ekonomi,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata tambahan peruntukan bagi kementerian itu dilihat mampu menyantuni masyarakat desa termasuk penoreh getah.

Ini selepas kerajaan bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sen sekilogram dengan peruntukan RM350 juta selain sumbangan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang dinaikkan daripada RM600 kepada RM800.

“Jumlah keseluruhan daripada peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ini turut meliputi juga soal pendidikan prasekolah, peruntukan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) serta projek prasarana yang merupakan keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat luar bandar,” katanya.

Ditanya jaminan kementerian itu dalam memastikan bantuan sampai kepada penerima, Ahmad Zahid berkata pihaknya mempunyai mekanisme terbaik supaya kumpulan sasaran dan mereka yang benar-benar layak sahaja akan menerima bantuan.

“Dalam kalangan pekebun kecil, ada 320,000 tersenarai sepenuhnya untuk bantuan BMT dan harga lantai yang disebutkan justeru dalam hal ini, data sedia ada diselaraskan bukan sahaja pihak dalaman khususnya RISDA dan FELCRA tetapi kita akan koordinasi dengan kementerian lain dan jabatan terkait,” katanya.

Beliau turut memuji cadangan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan di Parlimen dengan kadar segera kerana ia memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan perolehan dilakukan secara telus. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.