UMNO Kinabatangan Tidak Terjejas Meskipun Ada Pemimpin Dan Ahlinya Keluar Parti – Titing

SANDAKAN, 23 Feb – Tindakan beberapa orang ahli UMNO dari bahagian Kinabatangan keluar parti dan menyertai Pakatan Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diketuai oleh Datuk Juhari Janan hari ini tidak memberikan kesan terhadap UMNO bahagian itu.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk OKK Titing Putang berkata, isu tersebut tidak menjejaskan langsung ‘mood’ dan semangat juang ahli parti yang lain yang setia dan memiliki prinsip perjuangan kukuh.

“Begitu juga rata-rata rakyat yang sudah matang melihat budaya lompat parti yang sudah lama wujud di Sabah, ianya bukan satu perkara baru dan kita melihat mereka yang keluar dari UMNO bukanlah ahli atau pemimpin parti yang memilik maruah serta prinsip perjuangan yang tulin selain tidak pernah menghargai jasa serta sumbangan UMNO sehingga mereka berada dalam kedudukan sekarang,” jelas beliau

Titing berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan yang diketuai oleh bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kinabatangan Juhari Janan yang mengumumkan keluar dari UMNO dan menyertai (PGRS) yang turut disertai Naib Ketua Pemuda Badrul Hisham Juhari dan beberapa orang ahli jawatankuasa bahagian.

Terdahulu, Juhari dalam sidang medianya selepas pengumuman tersebut mendakwa beliau mengambil keputusan tersebut bagi memikirkan hala tuju pembangunan Sabah iaitu jika dibandingkan dengan Sarawak segala tuntutan mereka dipenuhi oleh kerajaan pusat.

Dalam pada itu Titing berkata UMNO bahagian menghormati keputusan mereka yang meninggalkan UMNO dan ini memberikan ruang kepada kepimpinan parti Bahagian untuk menilai ahli-ahli parti yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan.

“Biasalah dalam hidup ini umpama semut di mana ada gula di situlah mereka berhimpun mencari makan, begitulah manusia bila agenda peribadi gagal dipenuhi mereka akan mencari ruang baru untuk meneruskan survival kehidupan, apa pun kita ucapkan selamat maju jaya untuk mereka,” kata Titing.

Menurut Titing lagi dengan meninggalkan UMNO, ia tidak menjanjikan pembaharuan yang lebih baik kepada pengundi-pengundi di Kawasan Parlimen Kinabatangan yang merangkumi dua DUN iaitu Lamag dan Sukau berbanding dengan apa yang telah dilakukan dan dilaksanakan oleh UMNO bahagian itu selama ini.

Titing menambah pembentukan kerajaan Pusat hari ini UMNO/BN merupakan tunjang utama kerajaan Perpaduan maka jika pun kerajaan negeri mengambaikan kawasan ini kerana dendam politik, rakyat di kawasan ini akan terus dibela melalui peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat melalui Ahli Parlimen dan Ketua UMNO bahagian.

Dalam pada itu, beliau meminta anggota UMNO khususnya di bahagian itu agar terus kembali kepada asas perjuangan parti itu dan tidak mudah menyerah ke atas apa jua situasi.

“Takkanlah baru sahaja sumbangan UMNO/BN dalam pembentukan kerajaan selepas PRN ke-16 dinafikan oleh kerajaan GRS/PGRS dengan melakukan tindakan-tindakan yang tidak selairan dengan konsep kerajaan Perpaduan, kita sudah mula goyah dan tertekan ,kalau begitu, apa guna kita berpolitik, kalau hanya memikirkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.