Terus Dekati Anak Muda, Tunjukkan Sebab Utama Mereka Perlu Bersama UMNO – Mohd Nazifuddin

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Anak muda pada zaman kini lebih cenderung untuk melihat apa tawaran yang bakal disajikan oleh parti politik berbanding sejarah perjuangan parti.

Calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata, UMNO perlu bersama dengan anak muda melalui pendekatan baharu khususnya menerusi platform digital.

“Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu untuk anak muda, kalau saya lihat diri saya sendiri, kami sekeluarga sememangnya bersama UMNO. Daripada datuk, ayah dan saya sendiri. Jadi, kami memang setia sangat dengan UMNO.

“Tetapi anak muda kita sekarang ini, mungkin bagi mereka kejayaan UMNO yang lalu tidak cukup. Macam kita sedia maklum, UMNO berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Itu UMNO yang lepas.

“Sekarang ini anak muda nak tengok apa sebab nak sokong UMNO. Apa yang UMNO boleh berikan kepada mereka pada masa hadapan. Jadi, apa yang penting ialah sekarang dan hari ini bukannya yang telah berlalu.

“Saya lihat juga UMNO perlu bersama dengan anak muda melalui pendekatan baharu iaitu menerusi platform digital dan teknologi. Kita mengharapkan daripada ahli tiga juta yang lama itu, kita akan terus dapat sokongan sepenuhnya,” katanya ketika sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online.

Jelasnya, salah satu faktor mengapa anak muda tidak memilih untuk bersama dengan UMNO adalah disebabkan sistem pendaftaran ahli yang agak merumitkan.

“Kita kena turun bersama anak-anak muda dan bina semula perjuangan UMNO. Tunjukkan mereka apa sebab anak muda perlu bersama dengan UMNO.

“Satu lagi faktor utama yang saya lihat ialah untuk menjadi ahli UMNO ini masih terlalu rumit walaupun kita dah ubah sistem tersebut. Saya nak lihat sistem untuk bersama dengan UMNO ini lebih cepat daripada yang sekarang.

“Contohnya, kita daftar untuk Facebook. Berapa minit kita nak daftar Facebook? Lima minit dah jadi ahli. Jadi, UMNO perlu bergerak ke arah tersebut contohnya dengan tangkap gambar kad pengenalan. Itu sudah cukup untuk menjadi ahli UMNO.

“…sebab ramai yang berminat dengan UMNO sebenarnya tetapi mungkin mereka tidak boleh mendekati UMNO macam kita yang dah lama bersama dengan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.