Demokrasi UMNO Masih Subur, Tidak Tandus Pemimpin Teruskan Perjuangan – Jamal

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Dakwaan pihak luar yang mengatakan bahawa demokrasi dalam parti sudah terkubur adalah tidak benar.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Pemilihan UMNO 2023/2026 merupakan bukti bahawa demokrasi dalam parti masih subur dan parti ini tidak tandus pemimpin.

“Pemilihan UMNO 2023 ini berlangsung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan sekali lagi UMNO diuji dan akhirnya kita hanya berjaya memperoleh 30 kerusi parlimen di bawah Barisan Nasional (BN).

“Hari ini, menjelang seperti janji telah dinyatakan oleh Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bahawa pemilihan akan diadakan enam bulan selepas pilihan raya. Ini menggambarkan UMNO ini mengamalkan prinsip demokrasi.

“Mana-mana pihak di luar sana yang mengatakan UMNO ini tidak demokrasi hanyalah tohmahan semata-mata untuk agenda kepentingan mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, keputusan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari juga adalah salah satu demokrasi dan bagi mengelakkan perpecahan dalaman.

“Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pun adalah demokrasi kerana perwakilan yang membuat ketetapan begitu bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam keadaan UMNO tidak memperoleh banyak kerusi ketika PRU lalu.

“Kalau ada pertandingan dua jawatan tersebut saya bimbang akan ada perpecahan seperti sejarah-sejarah sebelum ini. Maka, untuk mengelakkannya ahli-ahli akar umbi perwakilan seluruh negara telah pun mengambil langkah bijak dengan menyatakan pendirian mereka.

“Apabila jawatan-jawatan tersebut tidak dipertandingkan, suara tersebut datangnya daripada akar umbi. Ini menggambarkan UMNO masih lagi mengamalkan demokrasi bukan seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan untuk menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada musim pemilihan ini bagi membantu parti sentiasa relevan di mata masyarakat.

“Saya dah sepuluh tahun menjadi Ketua UMNO Bahagian, hanya di peringkat bahagian dan juga di peringkat negeri. Sudah sampai waktunya untuk saya berkhidmat menawarkan diri secara sukarela untuk membantu parti di peringkat pusat bagi memastikan UMNO ini masih lagi relevan dan mendapat sambutan daripada masyarakat dan juga seluruh rakyat Malaysia.

“…dan yang paling mustahaknya, kesungguhan saya untuk menawarkan diri bertanding di jawatan MKT adalah untuk meneruskan perjuangan daripada pemimpin-pemimpin lama. Insya-Allah jika diberi kepercayaan saya akan menggalas amanah dan tanggungjawab tersebut untuk memastikan perjuangan UMNO itu akan terus kekal sampai bila-bila,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.