Pemimpin PN Bahagia Dengan Duit Sedekah/Rasuah… Presiden UMNO Pula Salah? – Zahida

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mempersoalkan kenyataan mengaitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan pendakwaan rasuah ke atas ketua penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan.

“Pemimpin PN bahagia dengan duit sedekah/rasuah… Presiden UMNO pula yang salah?” bidasnya ekoran kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebuah portal berita yang mendakwa pendakwaan terhadap Wan Saiful di mahkamah didalangi oleh Presiden UMNO.

Terdahulu, Zahida menempelak mereka yang berlagak suci, kononnya bersih dan stabil sebaliknya mengaitkan nama UMNO hanya untuk menutup kejahatan dan kecurangan diri dan parti mereka.

Semalam, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Bidas Zahida, mereka bermewah-mewah dengan dana tanpa had ketika pilihan raya tetapi rupa-rupanya merekalah bapa segala rasuah.

“’Name calling’ gelaran Kluster Mahkamah kepada pemimpin UMNO hanya untuk menutup kejahatan dan kecurangan diri dan parti mereka.

“Disaat rakyat sengsara dikurung waktu PKP, ramai yang bunuh diri angkat bendera putih, mereka bahagia dengan rasuah,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Soal Zahida, Berapa ramai lagi pemimpin PN akan jadi ‘The Real Kluster Mahkamah’?

Menerusi pertuduhan dalam mahkamah semalam, bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.