Pas Mahu Beri Dana Kepada PPBM: Isham Persoal Sumber Kewangan Tersebut

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil mempersoalkan kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengatakan mereka boleh memberikan wang kepada PPBM untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya parti itu ketandusan dana.

Jelasnya, Pas sebelum ini mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk menyelesaikan masalah air dahulu namun sekarang mempunyai duit yang banyak sehingga sanggup memberi ‘sedekah’ kepada rakan gabungannya.

“Dulu kata tak ada duit untuk selesaikan isu air. Sekarang kata banyak duit pula sampai boleh bagi kepada parti lain. Ini duit ‘sedekah’ dari mana pula?

“… dan adakah kamu minta ‘sedekah’ dari kontraktor projek kerajaan untuk sedekah kepada PPBM untuk ‘sedekah’ pula kepada pengundi? Sebelum ini berapa banyak sedekah PPBM beri kepada kamu dan berapa banyak dari ‘sedekah’ berbentuk tunai kamu simpan sendiri?” soalnya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Isham, duit tersebut tidak sepatutnya dan haram dimasukkan ke dalam akaun parti politik sekiranya ia berpunca daripada projek-projek kerajaan.

“Jika punca sumber ‘sedekah-sedekah’ ini adalah dari projek-projek kerajaan, itu adalah dari duit cukai dari rakyat atau duit pinjaman kerajaan. Duit ini tidak sepatutnya dan haram dimasukkan ke dalam akaun parti politik untuk diguna oleh pemimpin-pemimpin parti politik.

“Jika ada pemimpin kerajaan meminta, menerima atau mengguna duit ini untuk parti politik mereka semasa mereka berkuasa, itu adalah sama ada rasuah atau salah guna kuasa mengikut undang-undang.


“Kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin, PPBM dan Pas, usah menegakkan benang basah. Jawab sahaja di mahkamah. Kamu sekarang sudah jadi Kluster Mahkamah. Hadaplah pengadilan,” katanya lagi.

Hari ini media melaporkan Pas bersedia memberikan dana kepada PPBM bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri berikutan akaun parti gabungannya itu telah dibekukan.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh, tidak kira untuk apa pun, partinya akan sentiasa menyokong sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani PRN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.