Kes Projek Jana Wibawa: Usah Jadikan Kesusahan Rakyat Pengalih Perhatian – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil meminta pihak yang sedang menjalani proses mahkamah bagi kes projek Jana Wibawa tidak menjadikan kesusahan rakyat bagi mengalihkan perhatian.

Jelasnya, beliau sudah menjangkakan bahawa beberapa orang pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) akan didakwa di mahkamah akibat daripada salah guna kuasa yang dilakukan mereka.

“Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kata Ketua Penerangan PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan letak jawatan tidak bermakna dia bersalah. Dia kata itu, adalah set standard PPBM bila dituduh rasuah di mahkamah. Kalau begitu bila Muhyiddin sendiri dituduh di mahkamah nanti, harap dia ikut set standard dia ini.

“Jangan ada dwi-standard pula, macam dulu bila dia suruh orang lain pakai pelitup muka (mask) masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi dia sendiri tidak pakai mask, orang lain kena saman tapi dia tidak kena dan lepas begitu sahaja.

“Muhyiddin kata oleh sebab Presiden UMNO panggil dia (Muhyiddin) kluster mahkamah ini bermaksud kononnya Presiden UMNO yang menjadi dalang dia dan rakan-rakan dia kena panggil SPRM.

“Saya ingin kata begini kepada Muhyiddin, saya yang paling awal kata dan jangka sejak sebelum pilihanraya lagi bahawa kamu dan puak-puak kamu akan jadi kluster mahkamah, sebab pada ketika itu kamu dan rakan-rakan kamu dilihat atau disyaki terlibat dalam rasuah dan salahguna kuasa melibatkan pemberian kontrak-kontrak kerajaan secara rundingan terus bernilai berbillion ringgit,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, mereka tidak sepatutnya menyalahkan orang lain di atas kesalahan yang dilakukan dan menjadikan rakyat sebagai alasan untuk melepaskan diri.

“Tapi ini tidak bermakna saya yang suruh kamu beri kontrak ini secara rundingan terus dan suruh kamu ambil komisyen beratus juta serta suruh kamu belanja duit komisyen projek ini untuk kepentingan politik kamu lantas menjadi dalang kes rasuah kamu ini. Ini semua kamu dan rakan-rakan kamu dituduh buat sendiri. Usah salahkan orang lain apabila kamu ditangkap.

“Wan Saiful kata dia kesal kerana di saat rakyat sedang susah tiba-tiba kerajaan ambil tindakan kes rasuah di mahkamah kepada dia. Saya ingin tanya Wan Saiful, habis tu, takkan sebab rakyat susah oleh itu kamu mahu kes rasuah kamu tidak perlu diambil tindakan?

“Semasa kamu jadi kerajaan rakyat angkat bendera putih dan kerajaan kamu gagal namun kini ada kes siasatan mendapati bahawa pada masa yang sama kamu dan rakan-rakan parti kamu sakau duit beratus juta, sebab itu kamu didakwa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham meminta para pemimpin yang didakwa untuk memohon maaf daripada rakyat di atas salah laku yang telah mereka lakukan.

“Saya dulu berkhidmat 20 tahun dalam kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan dari pegawai rendah sehingga menjadi pengarah. Selama saya berkhidmat saya tidak pernah ambil rasuah atau apa-apa komisyen dan tidak pernah ada kes rasuah. Walhal kamu dan rakan-rakan kamu yang hanya berada dalam kerajaan selama 17 bulan dilihat sudah pandai sakau duit berbillion dan sudah ada tuduhan kes rasuah berjuta.

“Laporan menyebut semasa kamu meminta dan menerima sogokan RM6 juta tersebut, kamu masih memegang jawatan dalam kerajaan atau agensi kerajaan. Kamu tidak sepatutnya makan komisyen ketika memegang jawatan kerajaan. Ini salah, bukan sahaja dari segi etika tetapi di sisi undang-undang.

“Kamu dan rakan-rakan patut rasa malu dan minta maaf kepada rakyat. Usah jadikan kesusahan rakyat sebagai pengalih perhatian ke atas kes rasuah kamu.

“Kepada Muhyiddin, Wan Saiful dan pemimpin-pemimpin PN, saya hanya ingin kata kepada kamu semua berani buat beranilah tanggung. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.