Sekretariat Khas, ‘War Room’ Diwujudkan Tangani Isu Tuntutan Sulu

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Satu Sekretariat Khas telah diwujudkan sebagai pusat tumpuan utama untuk menangani isu tuntutan kumpulan Sulu dalam memastikan perbincangan dan penyelarasan yang lebih teratur, sistematik dan melibatkan semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan Sekretariat Khas yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 17 Feb lepas itu dipengerusikan beliau dengan timbalan pengerusi ialah Peguam Cara Negara II atau penggantinya.

“Keahlian lain terdiri daripada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Komunikasi dan Digital, Majlis Keselamatan Negara, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Peguam Besar Sabah dan pakar-pakar perundangan tempatan,” katanya pada sesi Penerangan Menteri-Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1)(i) di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Azalina berkata satu war room turut dibangunkan bagi memastikan semua tindakan yang diambil sentiasa dipantau dan mendapat sokongan yang tuntas.

Jelas beliau tujuan utama war room tersebut adalah bagi memberi khidmat sokongan kepada Sekretariat Khas serta memantau kes perundangan, kenyataan media antarabangsa serta strategi global bagi menangani tuntutan kumpulan Sulu tersebut.

Azalina berkata kerajaan juga akan memberikan satu taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada minggu depan bagi memberikan maklumat yang lebih terperinci dan berharap wakil rakyat yang terlibat dapat mengajukan segala persoalan pada taklimat tersebut.

Dalam pada itu, Azalina berkata mana-mana tuntutan kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan award termasuk preliminary award dan final award di pelbagai bidang kuasa adalah tidak mempunyai asas perundangan yang kukuh dan bermerit.

Beliau menegaskan kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi dalam aspek kedaulatan dan keselamatan negara termasuk memfokus kepada keutamaan melindungi aset negara daripada ancaman pihak luar.

“Kerajaan Malaysia juga tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan Sulu dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.